'19 hari hilang disangka hanya 2 hari...' Ramai kaitkan insiden kehilangan Prebet Muhammad Syafiq ada unsur mistik, ini reaksi Panglima Tentera Darat

Kredit foto: Utusan Sarawak, TikTok @risszam_
Kredit foto: Utusan Sarawak, TikTok @risszam_
A
A
A

19 hari hilang bukan tempoh singkat, apatah lagi lokasinya hutan tebal sempadan Malaysia-Brunei dekat Limbang, Sarawak.

Kejadian menimpa Anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim, 22, dari Kem Kidurong, Bintulu, menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia.

Hilang sejak 18 Jun lalu ketika sedang bertugas dalam Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Sarawak, penemuannya baru-baru ini diraikan dengan penuh kesyukuran terutama keluarga dan sahabat handai.

19 HARI DISANGKA 2 HARI

Dalam perkembangan berkaitan, ramai yang mengaitkan kehilangan lelaki itu dengan unsur mistik.

Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dalam satu sidang media berkata, perajurit itu tidak mengetahui bahawa beliau telah hilang selama 19 hari dan menyangka ia hanya mengambil masa dua hari.

No Image Caption

“Dalam tempoh dua hari, dia (Muhammad Syafiq) cuba berjalan menyusuri sungai dan tanda-tanda yang ada untuk kembali kepada pasukan.

“Pada hari kita jumpa, dia nampak khemah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

"Soalan pertamanya 'Ini askar Brunei ke’ sebab dia takut sesat ke Brunei,” katanya mengenai hasil temu bual dengan Prebet Muhammad Syafiq pada 6 Julai lalu.

Pihaknya juga tidak menafikan berlakunya kejadian mistik namun sukar untuk membuktikannya.

“Kita tak boleh nafikan tidak kira berapa maju kita dalam sains dan teknologi, elemen itu tetap ada tapi adalah sukar untuk kita membuktikannya.

“Sebab itulah, dalam usaha membuat pencarian ini, kita menggunakan cara konvensional dengan teknologi yang ada dan sebagainya. Malah, kita usaha juga menggunakan cara-cara tradisional dengan minta bantuan ustaz-ustaz serta pada masa sama melibatkan penduduk setempat yang mungkin lebih arif dan faham dengan keadaan di situ,” katanya.

No Image Caption

Muhammad Syafiq ditemukan dalam keadaan selamat serta lengkap bersama peralatan dan senjata namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi pada Sabtu selepas 17 hari operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.

Berikut adalah kronologi penemuan Prebet Muhammad Syafiq:

18 Jun 2024

Anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS), Muhammad Syafiq Hilmi disedari hilang kira-kira pukul 12.00 tengah hari ketika ketua kumpulan mendapati anggota tiada di posisi belakang kumpulan.

Ia berlaku pada kedudukan di jarak dua kilometer di atas permatang sempadan Malaysia-Brunei dari tanda sempadan E500 menghala ke arah E600.

Usaha mencari dan mengesan anggota telah segera dilaksanakan oleh kumpulan tersebut yang terdiri daripada dua anggota TDM dan lima anggota JUPEM namun gagal.

19 Jun 2024

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta JUPEM.

Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) juga telah mengatur gerak aset mereka dalam membantu usaha pencarian bersama TDM

21 Jun 2024

Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) mengeluarkan kenyataan media berhubung kehilangan Muhammad Syafiq.

27 Jun 2024

Memasuki hari ke-10, operasi SAR diteruskan menggunakan kaedah pencarian udara dan darat di sekitar kawasan Ulu Mendalam.

Pihak ABDB turut melaksanakan pencarian di sekitar kawasan radius pencarian.

Antara aset digerakkan adalah helikopter milik Tentera Udara Malaysia (TUDM), Agusta milik TDM dan Unit Anjing Pengesan K9 dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

29 Jun 2024

Pencarian memasuki hari ke-12 turut dibantu oleh anggota dari ‘Combat Air Rescue’ TUDM.

No Image Caption

3 Julai 2024

Hari ke-16, Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi dan beberapa pegawai kanan TDM turut serta dalam operasi pencarian.

4 Julai 2024

Hari ke-17, penduduk kampung melakukan upacara ‘miring’ untuk mencari Prebet Muhammad Syafiq di kawasan Bukit Pulau Burung, Ulu Mendalam Limbang, Sarawak.

6 Julai 2024

Memasuki hari ke-19, Muhammad Syafiq ditemui selamat pada pukul 11.29 pagi dalam keadaan lemah.

Beliau ditemukan dalam keadaan selamat dan lengkap bersama peralatan serta senjata, namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi serta telah diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi penemuan.

Difahamkan, Muhammad Syafiq berjaya menjejaki tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga beliau berjaya menemui lokasi Forward Operating Base (FOB) Tim A.

Terdahulu, video memaparkan beliau sedang diberikan bantuan menjadi tular di laman sosial meruntun hati ramai.

Kelihatan susut, cengkung dan sugul, warga maya tidak henti menitipkan doa agar perwira negara itu pulih segera.

KELUARGA TIDAK HENTI TITIP DOA

No Image Caption

Dalam pada itu, kakaknya, Syazwani, 24, berkata, mereka sekeluarga amat bersyukur memandangkan doa tanpa henti selama ini dimakbulkan ALLAH.

"Alhamdulillah adik ditemui selamat setelah 19 hari hilang dalam hutan di Sarawak.

"Kami sekeluarga juga sempat mengadakan kenduri kesyukuran selepas penemuannya," katanya.

Syazwani juga turut berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan keselamatan adiknya serta pasukan penyelamat yang menjalankan operasi mencari anak ketiga daripada lima beradik itu.

MAHU TERUS KHIDMAT DI SARAWAK

Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, setakat ini, keadaan kesihatan Muhammad Syafiq masih dipantau sehingga beberapa hari lagi sebelum dibenarkan bercuti di kampungnya di Baling, Kedah.

Menyifatkan Muhammad Syafiq sebagai seorang yang periang dan mudah berkawan dengan sesiapa sahaja, Muhammad Hafizuddeain berkata, anggota itu yang menyertai Rejimen Sempadan pada 2021 masih mahu meneruskan perkhidmatannya di Sarawak.

Kredit foto: Utusan Sarawak
Kredit foto: Utusan Sarawak

Muhammad Syafiq atau dikenali sebagai Spark dalam kalangan rakan-rakannya ttelah ditemukan dengan keluarganya di Miri yang mana sebelum ini kesemua mereka telah dibawa ke sana.

Buat masa ini, antara menjadi fokus utama TDM kini adalah mengenal pasti punca kehilangan anggota tersebut.

Lembaga Siasatan akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat foul play atau khianat dalam kejadian itu dan melihat dari sudut pelaksanaan bagi memperbaiki prosedur operasi pada masa akan datang.

Sumber: Berita RTM, Sinar Harian, Kosmo!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang