KERANA menyangkakan ibu bapa sedang tidur, seorang kanak-kanak berumur lima tahun terpaksa menjaga diri sendiri dan seorang adik lelaki berusia setahun.

Namun apa yang terjadi adalah pasangan suami isteri di Rusia itu rupanya sudah meninggal dunia selama tiga hari akibat keracunan makanan.

Mirror.co.uk melaporkan, kematian itu terbongkar apabila pasangan Alexander dan Viktoria Yakunin tidak hadir pada perjumpaan keluarga yang diadakan.

Ibu saudara kanak-kanak tersebut, Natalia Bakulina, yang berasa tidak sedap hati segera menghubungi si bapa namun panggilan dijawab anak saudara yang berusia lima tahun.

Menurut si anak, ibu bapanya sedang tidur dan tidak bangun selama berhari-hari.
Malah, badan ayahnya bertukar menjadi hitam selepas makan jeruk.

Tambahnya, dia mengambil alih tugas menjaga adiknya yang berusia satu tahun.

Selepas mengetahui insiden mengejutkan itu, Natalia Bakulina segera bergegas ke flat di kawasan Leningrad Rusia untuk melihat keadaan mereka.

Katanya, dia melulu masuk dan nampak segala-galanya serta jatuh terduduk dan menjerit.

Artikel berkaitan: Haram bermain PUBG di Aceh, ulama gesa hukuman sebat di khalayak ramai

Menurut Natalia lagi, pasangan itu ditemui mati di atas katil.

Iklan

Dia segera menelefon polis dan membawa kedua-dua anak saudaranya keluar dari kawasan kejadian.

Hasil siasatan mendapati sehari sebelum kejadian, nenek mangsa ada memberi sebekas jeruk yang dibuatnya sendiri. Jeruk tersebut ditemui di dapur rumah dalam keadaan terbuka.

Iklan

Oleh itu, pihak berkuasa tidak menolak punca kematian adalah disebabkan oleh keracunan makanan.

Mereka turut mengesyaki toksin botulinum daripada jeruk adalah penyebab kematian pasangan itu.