‘Terima kasih Covid Bandit’. Pelanggan misteri beri tip AS$200 kepada 7 pekerja restoran kegemarannya…

A
A
A

PADA saat pandemik Covid-19 masih ‘menggila’, tidak boleh dinafikan ramai yang terkesan dengan impaknya. Lebih-lebih lagi kesan kepada ekonomi sendiri dan keluarga.

Apatah lagi, mereka yang baru sahaja memulakan pekerjaan baharu selepas diberhentikan sebelum ini.

Begitupun, kita tidak bersendirian menghadapi semua perkara itu. Masih ada lagi insan yang berhati mulia sanggup berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

Cuma barangkali masing-masing menggunakan pendekatan berbeza dalam menyalurkan bantuan kepada individu yang terjejas akibat implikasi virus ganas sehingga menghimpit ekonomi masing-masing.

Di Colorado, Amerika Syarikat, misalnya, seorang pelanggan telah bermurah hati memberikan sumbangan kepada pekerja di restoran kegemarannya.

Memetik laporan food.ndtv.com, individu yang tidak mahu mendedahkan namanya dan hanya menggelarkan dirinya sebagai Covid Bandit itu telah memberikan AS$1,400 (RM5,664) kepada tujuh kakitangan di Notchtop Bakery and Café yang terletak di Estes Park, Colorado.

Ini bermakna, setiap staf restoran berkenaan memperoleh AS$200 (RM809) seorang.

Pelanggan beri tip

“Terima kasih Covid Bandit atas pemberian anda yang begitu bermurah hati kepada kakitangan kami. Hadiah anda telah menyentuh banyak hati,” katanya sebagaimana dipetik menerusi keterangan pada gambar yang dimuat naik pada Facebook milik kafe berkenaan baru-baru ini.

Menerusi hantaran berkenaan, pihak restoran itu memuat naik gambar kakitangan mereka selain foto bil pesanan tertera jumlah bayaran yang diberikan oleh pelanggan misteri itu.

(Artikel berkaitan: Turunkan lebih 500 kotak piza percuma dari tingkat 2 apartmen untuk orang ramai, kegigihan pemuda ini dihargai...)

Bil tersebut menunjukkan harga pesanan makanan yang dibelinya adalah sekitar AS$20.40 (RM83). Begitupun, Covid Bandit telah memberikan tip sebanyak AS$1,400 (RM5,664), selain membayar harga makanan tersebut.

Malah, pelanggan misteri itu juga sempat menulis pada bil itu dengan keterangan: “Covid Sucks! AS$200 for each employee today!” (Covid yang buruk! AS$200 (RM809) untuk setiap pekerja hari ini).

Covid Bandit turut melukis gambar wajah tersenyum dengan kata-katanya itu pada bil berkenaan.

Pelanggan beri tipPerkongsian tersebut ternyata membuatkan ramai yang terharu dengan tindakan pelanggan tadi hinggakan menjadi topik hangat dalam kalangan warganet di negara berkenaan.

Ujar seorang warganet, Donna Flavin: “Betapa hebatnya usaha peanggan itu! Suka saya melihatnya, masih ada orang yang baik hati di dunia ini. Saya akan beritahu anak saya sepanjang masa… ‘Jadilah yang terbaik di dunia’,” tulis beliau.

Kepada sesiapa yang mungkin berhajat untuk membantu meringankan beban orang lain, mungkin boleh contohi pendekatan pelanggan misteri tadi.

Tidak kiralah besar atau kecil sumbangan yang diberikan, namun sedikit sebanyak ia akan membuatkan penerima bertambah gembira. Mungkin juga mereka mendoakan kita agar ditambahkan rezeki lagi.

Sumber: food.ndtv.com & Facebook Notchtop Bakery & Cafe

Foto: Facebook Notchtop Bakery & Cafe & Freepik

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang