Terpaksa buang rahim kerana kanser, wanita ini tak sangka dapat lahirkan bayi sendiri. Ini ceritanya
Terpaksa buang rahim kerana kanser, wanita ini tak sangka dapat lahirkan bayi sendiri. Ini ceritanya
SETIAP wanita pasti mempunyai impian untuk bergelar ibu.
Namun, tidak semua bernasib baik. Antara kes yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita adalah dilahirkan tanpa rahim.
Tidak pun, mereka terpaksa membuang rahim mereka akibat kanser.
Seperti yang diketahui ramai, ketiadaan organ pembiakan itu menyebabkan mereka tidak dapat mengandung.
Jadi, adakah impian wanita-wanita tersebut untuk memiliki zuriat sendiri akan terkubur?
Harapan seakan-akan malap, bukan? Namun, peristiwa yang berlaku ke atas seorang wanita dari Manchester, England baru-baru menggemparkan ramai.
Stacey Broadmeadow, 38, yang terpaksa membuang rahimnya gara-gara kanser dilaporkan melahirkan seorang bayi.
Menurut Independent UK, Broadmeadow reda dengan kehilangan ovarinya selepas disahkan menghidap kanser pseudomyxoma peritonei (PMP) yang hanya menjangkiti satu dalam sejuta manusia.
Sebaik mengetahui hal pilu berkenaan, wanita tersebut sudah putus harapan untuk menimang cahaya mata.
"Hancur hati saya. Saya terfikir adakah ini pengakhirannya? Saya mungkin tidak dapat bergelar seorang ibu. Saya tidak menyangka impian saya musnah.
"Namun, saya masih beruntung kerana perunding perubatan saya sangat positif dan memberikan harapan bahawa beliau boleh membantu," katanya.
Kanser jarang berlaku
Untuk makluman pembaca Sinarplus, PMP adalah sejenis kanser yang sangat jarang berlaku.
Berdasarkan laman web antarabangsa, Cancer Research UK, PMP biasanya berlaku pada lapisan apendiks.
Ia juga boleh berlaku pada bahagian usus lain, ovari dan pundi kencing.
"Tumor ini akan merebak pada dinding apendiks dan tersebar ke lapisan rongga perut.
"Sel-sel ini menghasilkan lendir dan terkumpul di dalam perut seperti jeli," jelas laman web tersebut.
PMP tidak seperti kanser lain yang kebiasaanya akan merebak ke bahagian lain melalui salur limfa dan darah tetapi ia tumbuh dan merebak di dalam perut.Kanser ini menyebabkan penghidapnya kehilangan selera makan, mengalami pertambahan berat badan yang tidak dijangka dan sakit perut.
IVF
Berbalik kepada kisah Broadmeadow tadi, kesan daripada kanser yang dihidapi, beliau telah menjalani pembedahan membuang limpa, pundi hempedu, lapisan tisu, tiub fallopio dan kedua-dua ovarinya.
Proses tersebut kemudiannya diikuti dengan prosedur kimoterapi bagi membunuh sel-sel tumor yang masih ada.
Beritahu beliau, pakar-pakar di hospital Christie NHS Foundation Trust di Manchester telah berjaya membekukan telur-telurnya semasa dua pembedahan besar yang dijalaninya.
Kemudian, akhirnya membawa kepada kelahiran bayi Harry melalui kaedah persenyawaan in vitro (IVF).
Proses rawatan kesuburan yang dijalani wanita itu tidak semudah yang disangka.
Daripada 17 telur yang diambil, hanya dua embrio yang berjaya dihasilkan.
Baca juga: Tuala wanita boleh menyebabkan kanser pangkal rahim? Ini penjelasan doktor
Baca juga: Bahaya tumpah darah lepas bersalin rahim boleh dibuang, 12 golongan ibu hamil ini jaga-jaga ya
"Satu daripada embrio itu telah dipindahkan dan malangnya saya mengalami keguguran.
"Jadi, selepas keguguran, saya rasa impian saya sudah musnah namun saya masih ada satu lagi embrio terakhir," katanya.
Embrio terakhir itu telah dipindahkan pada Februari dan Harry dilahirkan pada November tahun lalu.
"Dia begitu ajaib. Setiap kali saya melihatnya, saya berasa sangat bertuah.
"Untuk saya yang disahkan dengan kanser dan terpaksa melalui proses kehamilan dengan embrio yang bukan terbaik, saya memanggilnya Little Nemo," ujar beliau.
Dalam filem Finding Nemo, Nemo dilahirkan daripada telur terakhir yang tinggal.
Jadi, Hanry umpama Nemo bagi wanita tersebut kerana keistimewaannya lahir daripada embrio terakhir.
Betullah, kan, keajaiban akan sentiasa wujud tanpa disangka-sangka.
Semoga Little Nemo akan membesar dengan sihat.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang