TUMPAH darah lepas bersalin banyak berlaku pada ibu hamil. Ia adalah salah satu komplikasi yang biasa terjadi semasa proses kelahiran.

Banyak keadaan yang meningkatkan kebarangkalian tumpah darah ni. Ia berkait rapat dengan uri, tahap kesihatan ibu dan permasalahan yang timbul semasa proses kelahiran.

Pendarahan semasa proses kelahiran menerusi pembedahan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Lazimnya bagi wanita hamil, darah akan dihasilkan 50 peratus lebih banyak daripada biasa.

Kredit foto: Pexels

Justeru, pendarahan yang normal terjadi semasa pemisahan uri dan dinding rahim atau episiotomi ialah sesuatu yang dijangkakan.

Bagi kelahiran secara caesarean, pendarahan yang lebih banyak dijangkakan akan berlaku. Bagi mempersiapkan diri menghadapi kelahiran, ibu-ibu kena fahami faktor yang meningkatkan risiko ia terjadi berlebihan atau tumpah darah. Lebih-lebih lagi kalau bersalin secara pembedahan caesarean.

Terdapat sembilan keadaan yang boleh meningkatkan risiko terjadinya pendarahan selepas kelahiran.

1. Uri bawah (placenta previa) yang hanya akan disahkan apabila kandungan tujuh bulan
ke atas. Keadaan ini terbahagi kepada empat tahap. Hal ini boleh berlaku sekiranya ibu-ibu seperti berikut:

-Ibu yang mempunyai parut pada dinding rahim akibat pembedahan atau prosedur D&C.
-Kehamilan hasil kaedah IUI atau IVF.
-Ibu mempunyai sejarah uri bawah pada kehamilan sebelum ini atau mempunyai radang pada rahim (endometrisis).

2. Uri lekang (placenta abruptio) di mana uri lekang dari dinding rahim lebih awal daripada waktu sepatutnya iaitu hanya dua atau tiga minit sebelum kelahiran. Ini selalu terjadi kepada ibu yang mempunyai tekanan darah tinggi semasa hamil, mengalami trauma pada perut, sejarah uri lekang, air ketuban kurang atau pecah awal.

3. Uri melekat (sama ada placenta accreta/increta/percreta) berlaku apabila berlaku lekatan uri ke dalam otot rahim hingga ada kalanya sehingga pundi kencing dan ia tidak boleh dikeluarkan secara normal selepas bersalin.

4. Ibu yang mempunyai tahap HB yang rendah berisiko kerana rahim tidak kuat dan kurang upaya untuk mengecut dengan cepat.

Kredit foto: Freepik

5. Ibu yang bersalin anak kelima dan ke atas kerana otot rahim kurang elastik dan kuat untuk mengecut kembali.

6. Pengembangan rahim yang lebih daripada normal sama ada disebabkan oleh kehamilan kembar, polihidramnion iaitu air ketuban terlalu banyak atau bayi terlalu besar (4 kilogram ke atas).

7. Ibu menghidapi hemofilia atau trombofilia yang menyebabkan kegagalan darah membeku atau berhenti.

8. Rahim merekah (uterine rupture) semasa proses bersalin bagi ibu yang melahirkan anak kelima ke atas, pernah melalui caesarean, jarak caesarean kurang daripada 18 bulan atau bayi tidak memasuki pelvis ibu semasa bersalin (obstructed labour).

9. Prolonged labour di mana proses kelahiran berlangsung lebih daripada 12 jam (kecuali anak pertama). Ia disebabkan oleh pelvis ibu yang kecil atau bayi terlalu besar dan bukaan serviks yang perlahan. Keadaan ini juga boleh menyebabkan rahim tidak mengecut atau uterine atony selepas bersalin.

Tumpah darah ini bahaya ya. Bagi setiap kelahiran, rahim akan segera mengecut selepas bayi dan uri dikeluarkan. Pengecutan yang kuat ini sebenarnya bertindak menutup salur darah yang terbuka di mana uri bersambung.

Kredit foto: Freepik

Tumpah darah hanya berlaku apabila salur darah tidak tertutup kerana rahim yang tidak mengecut.

Bagi keadaan rahim yang tidak mengecut sejurus selepas kelahiran (uterine atony) doktor yang merawat akan mengambil langkah untuk mempercepatkan proses rahim kembali kepada asal dan menghentikan pendarahan dengan beberapa langkah iaitu

Iklan

-Mengurut bahagian atas rahim.
-Memberikan suntikan Pitocin.
-Ibu menyusukan bayi secepat mungkin.

Kredit foto: Pexels

Bagi kes pendarahan yang teruk dan kritikal pembedahan dilakukan secepat mungkin. Rahim akan diikat supaya ia cepat mengecut.

Jika usaha ini tidak berjaya hingga mengancam nyawa ibu, pembedahan untuk membuang rahim (hysterectomy) terpaksa dilakukan.

Jadi ibu-ibu yang berisiko tinggi atau yang menghadapi komplikasi kesihatan sepanjang kehamilan dperlu sentiasa berwaspada. Ambil langkah awal ini:

1-Dapatkan rawatan, pemeriksaan dan pemantauan daripada pakar perbidanan dan
sakit puan.

2-Memastikan paras hemoglobin adalah pada tahap optimum atau sekurang-kurangnya
11g/dl.

Iklan

3-Bersalin di hospital.

Begitulah pengorbanan besarnya para isteri melahirkan zuriat ke dunia. Kepada ibu hamil, ambil langkah berjaga-jaga dan waspada. Semoga kelahiran dipermudahkan.

Kredit foto utama: Freepik

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi