BERITA kurang baik bagi peminat bola sepak. Terdahulu, tiga pemain Paris Saint-Germain (PSG), Neymar dan dua lagi rakan sepasukannya Angel Di Maria, 32, dan Leandro Paredes, 26, didakwa positif ujian Covid-19 selepas percutian akhir musim di Ibiza.

Kini, nasib yang sama terpaksa diterima oleh bintang bola sepak sensasi merangkap kapten pasukan kebangsaan Portugal, Cristiano Ronaldo apabila beliau juga disahkan positif Covid-19.

Berita tersebut sekali gus menyebabkan Ronaldo terlepas peluang untuk beraksi dalam perlawanan menentang Sweden dalam aksi Liga Negara-Negara pada awal pagi Khamis ini.

Memetik laporan agensi berita Xinhua, bagaimanapun, penyerang Juventus itu dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang gejala tetapi kini menjalani kuarantin.

Tidak menunjukkan sebarang gejala, Cristiano Ronaldo disahkan positif Covid-19

Persekutuan Bolasepak Portugal berkata, pemain lain dalam pasukan Portugal didapati negatif dan sedia beraksi dalam perlawanan itu.

Iklan

“Ronaldo diberi pelepasan daripada misi bersama skuad kebangsaan selepas ujian saringan mendapati dia positif Covid-19, jadi dia tidak akan berdepan Sweden.

“Pemain antarabangsa Portugal itu dalam keadaan sihat tanpa gejala dan kini menjalani kuarantin.

“Susulan kes positif, baki pemain menjalani ujian baru pagi ini dan kesemua mereka negatif dan boleh berlatih di bawah kendalian Fernando Santos petang ini,” katanya.

Peraturan liga juga telah menetapkan sesi latihan pasukan mesti dibatalkan jika kelab mempunyai empat kes positif dan perlawanan mungkin terpaksa ditangguhkan.

Cristiano Ronaldo juga dilihat tidak memuat naik sebarang status terkini beliau setelah disahkan positif Covid-19 di mana-mana laman sosial beliau.

Iklan

Namun akaun Instagram miliknya telah dibanjiri dengan komen-komen peminat setia yang mendoakan kesihatannya dan berharap Ronaldo dapat beraksi kembali di padang selepas sembuh.

Mungkin ini masa untuk beliau ‘berehat’ seketika. Semoga lekas sembuh Ronaldo!