PASTINYA ramai yang mengeluh jika penerbangan yang telah dijadualkan terpaksa ‘delay’ untuk tempoh masa tertentu.

Mana tidaknya, penumpang terpaksa menunggu lama sehingga berjam-jam sebelum menaiki pesawat dan secara tidak langsung turut membuatkan semua jadual yang telah diatur terjejas.

Antara faktor penangguhan adalah cuaca buruk yang tidak menentu sebagai penyumbang utama. Namun, banyak lagi asbab lain yang boleh dikaitkan dengannya.

[VIDEO] Penerbangan ‘delay’, ingatkan cuaca buruk, rupa-rupanya ada orang panjat sayap pesawat

Seperti apa yang berlaku baru-baru ini, seorang pengguna Twitter berkongsi video ibunya yang terpaksa berhadapan dengan kejadian yang tidak disangka.

Melalui rakaman tersebut, ibu kepada pemilik akaun Twitter milik @SouljaSlim2005 sempat merakam kejadian pelik iaitu kelihatan seorang individu memanjat sayap pesawat.

Individu dalam rakaman tersebut dilihat seolah berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan bertindak di luar jangkauan.

Keadaan itu telah membuatkan ramai pihak semakin panik apabila dia turut memanjat bahagian tepi sayap pesawat berkenaan sehingga membuka kasut dan berusaha juga untuk memanjat sebelum akhirnya terjatuh.

Namun akhirnya keadaan berjaya dikawal apabila terdapat beberapa anggota keselamatan yang dilihat cuba menyelamatkan individu terbabit.

Punca mengapa individu tersebut bertindak demikian sehingga kini belum diketahui.

Individu berkenaan yang terjatuh dari ketinggian yang rendah itu telah dibawa oleh anggota keselamatan tersebut untuk siasatan lanjut.