PERTUNANGAN merupakan janji bagi kedua belah pihak iaitu lelaki dan perempuan sebelum mengikat tali perkahwinan.

Selalunya ia melibatkan waktu-waktu yang telah ditetapkan serta dipersetujui oleh kedua belah pihak ini.

Dalam Islam, ia tidak semestinya melalui acara atau majlis rasmi seperti menyarung cincin dan sebagainya. Jika kedua-dua pihak lelaki dan perempuan bersetuju untuk berkahwin dan dimaklumkan kepada wali pihak perempuan, ia sudah dianggap sebagai bertunang.

Bertunang bukanlah suatu perkara yang mudah, banyak perkara yang perlu dijaga. Ia bukan sahaja melibatkan batas pergaulan, tetapi juga hati dan perasaan kedua-dua belah pihak.

Ujian bertunang macam-macam. Jadi janganlah bertunang terlalu lama sangat, kerana syaitan sering menghasut supaya pasangan tak jadi untuk bina masjid.

Kisah pertunangan juga macam-macam. Seperti yang berlaku di luar negara ini.

Di Las Vegas, setelah dua tahun mengikat tali pertunangan bersama pasangan pilihan, seorang wanita nampaknya sudah hilang sabar.

Kini tular dalam sebuah video di aplikasi TikTok, seorang wanita dilihat nekad ‘mengamuk’ di sebuah pasar raya, meminta tunangnya agar mengahwininya.

Iklan
Wanita 'mengamuk' di pasar raya, jumpa tunang ajak kahwin
Gambar hiasan

Lengkap dengan gaun pengantin, wanita itu hadir ke pasar raya berkenaan bersama seorang pengapit untuk bertemu tunangnya yang pada ketika itu sedang bertugas di situ.

“Dua tahun lepas awak sarungkan cincin tunang ini dan sekarang masa untuk berkahwin atau kita putus sahaja,” itu yang dikatakan wanita itu kepada lelaki berkenaan yang nampak begitu terkejut dengan kehadirannya.

“Kenapa tak ada orang beritahu saya dia datang?” Lelaki itu bertanya kepada rakan-rakan sekerja yang memerhatikan insiden itu.

Iklan

Sedar kekecohan itu menarik perhatian ramai, wanita itu sempat mengucapkan hello, sambil menjelaskan apa yang dilakukan adalah dengan niat mahu tunangnya menunaikan komitmen seperti dijanjikan.

Sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada insiden tersebut satu lakonan atau kejadian sebenar, malah tidak diketahui jika pasangan itu sudah selamat berkahwin atau tidak.