BUDAYA bersukan hari ini dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia dan ia dilihat satu perkembangan yang positif.

Tambahan pula kini aktiviti sukan berbasikal semakin digemari ramai dan menjadi antara aktiviti kegemaran ketika hujung minggu.

Namun, dek kerana penularan pandemik Covid-19 dan kebanyakan negeri kini sedang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pergerakan orang ramai juga terpaksa disyaratkan termasuk aktiviti bersukan.

17 soalan lazim berkenaan aktiviti sukan sepanjang PKPB menjawab kekeliruan orang ramai

Bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai terhadap aktiviti sukan yang dibenarkan sepanjang PKPB, SinarPlus kongsikan 17 soalan lazim terhadap aktiviti tersebut seperti apa yang dikongsikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Antaranya adalah seperti :

1. Adakah saya dibenarkan melakukan aktiviti sukan dan rekreasi sepanjang tempoh PKPB berkuat kuasa?

Dibenarkan. Aktiviti sukan dan rekreasi sepanjang tempoh PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan negeri Selangor boleh dilakukan secara individu dan tidak melebihi 10 orang, dilakukan di kawasan terbuka, tidak melibatkan sentuhan fizikal (contact sports) dan mematuhi peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa termasuklah kebenaran menggunakan fasiliti dan kemudahan sukan awam terbuka yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

2. Bilakah PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan negeri Selangor berkuat kuasa?

PKPB mula berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan negeri Selangor mulai 14 Oktober 2020 sehingga 27 Oktober 2020.

3. Adakah SOP Sektor Sukan dan Rekreasi di bawah PKPB yang sedang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan negeri Selangor ini terpakai di negeri Sabah?

Tidak. SOP Sektor Sukan dan Rekreasi di bawah PKPB hanya terpakai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan negeri Selangor sahaja. Kebenaran bagi melakukan aktiviti sukan dan rekreasi di negeri Sabah adalah tertakluk kepada pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri Sabah.

4. Apakah larangan di bawah SOP Sektor Sukan dan Rekreasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa?

Larangan di bawah SOP Sektor Sukan dan Rekreasi sepanjang PKPB merangkumi aktiviti di kawasan tertutup (indoor), aktiviti kolam renang, aktiviti bersentuhan fizikal, aktiviti perlawanan bagi sukan berpasukan dan aktiviti penganjuran kejohanan / pertandingan.

5. Saya merupakan pengusaha fasiliti gimnasium dan pusat kecergasan di salah sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur. Adakah saya boleh membenarkan pelanggan saya menggunakan kemudahan di premis saya untuk bersenam?

Tidak dibenarkan. Orang awam tidak dibenarkan untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan / fasiliti tertutup termasuklah yang diusahakan oleh pihak swasta sepanjang PKPB berkuat kuasa dan tertakluk kepada peraturan-peraturan semasa oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Walau

bagaimanapun, pengusaha boleh meneruskan aktiviti ekonomi yang tidak berkaitan dengan aktiviti fizikal bersukan seperti jualan barangan atau pendaftaran keahlian baru dan lain-lain.

6. Saya merupakan jurulatih pasukan bola sepak komuniti yang berpusat di negeri Selangor. Adakah saya dibenarkan meneruskan rancangan mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak di padang komersial yang terletak di Kuala Lumpur ketika PKPB berkuat kuasa?

Tidak dibenarkan. Sebarang bentuk aktiviti sukan dan rekreasi yang melibatkan sentuhan fizikal (contact sports) adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB berkuat kuasa.

7. Adakah saya dibenarkan untuk melakukan aktiviti senaman di laman yang terletak di dalam perkarangan rumah saya yang berpagar dan tertutup?

Dibenarkan. Aktiviti sukan dan rekreasi yang dilakukan secara kendiri atau bersama dengan individu yang tinggal di dalam rumah yang sama adalah dibenarkan.

8. Saya merupakan penyelia kemudahan sukan di salah sebuah pangsapuri yang terletak di Putrajaya. Adakah kemudahan seperti kolam renang dan gimnasium boleh dibuka kepada penghuni dan penyewa?

Tidak dibenarkan. Aktiviti sukan dan rekreasi yang melibatkan kemudahan sukan di kawasan tertutup seperti gimnasium dan kemudahan sukan air di kolam renang adalah termasuk dalam senarai larangan sepanjang PKPB berkuat kuasa.

9. Persatuan sukan elektronik kami telah merancang untuk menganjurkan Kejohanan Sukan Elektronik Peringkat Kebangsaan bermula 17 dan 18 Oktober 2020, Adakah kami dibenarkan untuk meneruskan kejohanan?

Dibenarkan. Penganjuran program sukan dalam talian (online) terutamanya melibatkan sukan elektronik sepanjang tempoh PKPB adalah dibenarkan di mana peserta terhad berada di kediaman masing-masing sahaja.

10. Saya merupakan salah seorang peserta acara larian secara virtual dari Negeri Sembilan dan berhasrat meneruskan larian saya di taman tasik yang terletak di Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2020. Adakah saya dibenarkan berbuat demikian?

Iklan

Tidak dibenarkan. Pergerakan merentas negeri dari Negeri Sembilan ke dalam kawasan PKPB bagi tujuan aktiviti fizikal bersukan adalah dilarang.

11. Persatuan sukan kami berhasrat mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pada 17 Oktober 2020 di salah sebuah dewan di negeri Selangor. Adakah persatuan kami boleh berbuat demikian?

Mesyuarat Agung Tahunan tersebut disarankan diadakan secara atas talian. Mesyuarat Agung Tahunan yang melibatkan perkumpulan individu yang ramai tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan negeri Selangor.

12. Saya berhasrat melakukan aktiviti berbasikal secara santai bersama ahli keluarga di sekitar lokaliti setempat berhampiran kediaman. Adakah saya dibenarkan berbuat demikian ketika PKPB berkuat kuasa?

Dibenarkan. Aktiviti berbasikal secara individu dan tidak melebihi 10 orang di kawasan terbuka adalah dibenarkan sepanjang tempoh PKPB dan terhad di dalam daerah yang sama sahaja.

13. Rakan-rakan saya lebih kurang lapan (8) orang telah mengajak saya untuk melakukan aktiviti senamrobik di kawasan lapang berhampiran balai raya di perumahan kami di negeri Selangor. Adakah saya dibenarkan berbuat demikian?

Dibenarkan. Aktiviti sukan dan rekreasi yang dilakukan melibatkan perkumpulan kecil (tidak melebihi 10 orang) adalah dibenarkan dan hendaklah mematuhi penjarakan fizikal (dinamik: 3 hingga 5 meter).

14. Bagaimana dengan penganjuran acara sukan seperti perlawanan liga bola sepak ketika PKPB berkuat kuasa?

Iklan

Sebarang bentuk perlawanan, pertandingan dan kejohanan sepanjang PKPB adalah tidak dibenarkan. Penganjur acara sukan hendaklah menjadualkan semula perlawanan dan tertakluk kepada arahan Kerajaan dari semasa ke semasa.

15. Saya merupakan salah seorang kakitangan yang berkhidmat menjalankan tugas-tugas pentadbiran bagi Persatuan Sukan Kebangsaan yang beroperasi di Kuala Lumpur. Adakah saya dibenarkan hadir bertugas sepanjang PKPB berkuat kuasa?

Dibenarkan. Operasi pejabat dan kerja-kerja pentadbiran tanpa melibatkan aktiviti sukan dan rekreasi secara fizikal adalah dibenarkan sepanjang PKPB berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan negeri Selangor. Namun, amat digalakkan untuk berkerja dari rumah (work from home).

17. Bagaimana jika saya tinggal di negeri atau kawasan yang tidak terlibat dengan penguatkuasaan PKPB? Adakah saya dibenarkan untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi?

Dibenarkan. Aktiviti sukan dan rekreasi adalah dibenarkan di mana-mana kawasan yang tidak terlibat dengan penguatkuasaan PKPB. Setiap individu hendaklah mematuhi SOP Sektor Sukan dan Rekreasi yang terkini dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

17. Di manakah saya boleh mendapatkan maklumat mengenai Sektor Sukan dan Rekreasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa?

Orang ramai boleh mengakses dan mendapatkan maklumat mengenai SOP Sektor Sukan dan Rekreasi di laman web www.mkn.gov.my atau www.kbs.gov.my