MERAFAK sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskanda berkenan melafaz sumpah serta menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Sementara itu, Sultan Nazrin Shah berkenan melafaz sumpah serta menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dalam Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan, diikuti Pengisytiharan Memegang Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Sultan Ibrahim, 65, dan Sultan Nazrin Shah, 67, melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-raja Melayu dari Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

 

Manakala Johor diwakili Pemangku Sultan Johor, Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Perlis diwakili Pemangku Raja Perlis, Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan, yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

 

Sultan Ibrahim turut menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya membacakan kandungan surat perisytiharan itu dan bermulanya secara rasmi Sultan Ibrahim sebagai Ketua Utama Negara baharu Malaysia berdasarkan undang-undang dan Perlembagan Persekutuan.

Baca juga: ‘Sweet adinda, kekanda berpelukan’, ramai berlinang air mata lihat Sultan Ibrahim & Raja Permaisuri Agong

Baca juga: 10 fakta menarik Sultan Johor, Sultan Ibrahim dipilih Yang di-Pertuan Agong ke-17

BERANGKAT DARI ISTANA BUKIT SERENE

Terdahulu, Sultan Ibrahim yang berangkat dari dari Istana Bukit Serene, Johor Bahru, sebelum ke Hangar DiRaja, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa, Pengelola Bijaya Diraja Johor, melaungkan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali sebagai simbolik keberangkatan.

Baginda selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dan disambut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah Alhaj.

Sultan Ibrahim kemudian berkenan melalui Kawalan Kehormatan Setempat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum berangkat ke Istana Negara.

 

Baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-263 (Khas) yang berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 27 Oktober tahun lalu.

Peramah, mesra dan prihatin, bukti perwatakan Sultan Ibrahim cukup dikagumi rakyat.
Berikut 10 fakta menarik baginda:

1-Baginda diputerakan pada 22 November 1958 dan merupakan anakanda ketiga dan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom binti Abdullah.

Kredit foto: Instagram officialsultanibrahim

2-Baginda mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan untuk pegawai muda di Fort Benning, Georgia USA dan latihan ‘American Special Forces‘ dan ‘Pathfinder. Ketika itu baginda telah membuat 19 terjunan payung terjun yang mana lapan darinya pada waktu malam.

3-Pemerintah berjiwa rakyat ini juga dipilih dan ditauliahkan sayap dan dijadikan sebagai seorang komando dan anggota pasukan SEAL.

Iklan

4-Tuanku pernah dilantik sebagai Timbalan Pegawai Pemerintah Askar Timbalan Setia Negeri dan menjalani latihan juruterbang helikopter dengan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) hingga dikurniakan dan menerima sayap pada 26 April 1982.

5-Selain itu, Sultan Ibrahim juga menyertai latihan tentera laut di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Lumut selama tiga bulan, sekali gus melengkapkan Tuanku sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara.

Kredit foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

 

6-Bagi mengimbangi latihan ketenteraan dan untuk menjadikan Raja yang berwibawa dan dihormati, baginda meneruskan pelajaran di Fletcher School of Law and Diplomacy di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat. Tuanku menyertai dan melengkapi dua kursus, Southeast Asian Strategic Studies dan International Laws of the Seas.

8-Tuanku berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Johor dan ditempatkan di antara lain di Pejabat Setiausaha Kerajaan, Pejabat Perbendaharaan, Pejabat Tanah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Pertanian untuk mempelajari selok belok pengurusan dan pentadbiran negeri.

9-Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981. Mulai 25 April 1984 hingga 25 April 1989 Tunku Mahkota Tunku Ibrahim dilantik sebagai Pemangku Raja semasa ayahanda, Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong. Tunku Mahkota Tunku Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar.

10-Baginda mendirikan rumah tangga dengan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia pada tahun 1982.

Kredit foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Keluarga diraja ini kemudiannya dikurniakan enam putera dan puteri iaitu:

a)Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor

b)Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Ibrahim

c)Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor

Iklan

d)Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibrahim Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor

e)Tunku Abdul Rahman Hassanal Jeffri Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor

f)Tunku Abu Bakar Mahmood Iskandar Ibrahim Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.

Sultan Ibrahim juga merupakan kakanda kepada Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seluruh warga SinarPlus merafak sembah takzim dan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia.

Daulat Tuanku!

Sumber: Johor.gov.my, Bernama, Instagram The Royal Johor

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat! 

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!