HARI ini genap 95 tahun usia bekas Perdana Menteri Malaysia dan juga negarawan ulung negara, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun Tun Dr Mahathir atau kini mesra disapa dengan panggilan Tun M sudah berusia 95 tahun, namun beliau dilihat masih lagi kekal aktif dan mempunyai daya fikir dan ingatan yang tajam. Penulis sendiri yang umur belum mencecah 40-an pun kadang kalanya simpan barang pun boleh lupa.

Letak tempat lain cari tempat lain, ini kan pula nak ingat semua perkara yang berlaku dalam dunia apatah lagi setiap perincian berkenaan negara. Hebat Tun M bukan?

Agaknya apa petua dan rahsia yang diamalkan beliau sehingga ke hari ini?

Amalan Tun M kekal sihat

Menurutnya, rahsia yang diamalkan ialah harus sentiasa mengamalkan cara hidup sihat dengan :-

Iklan
  • Tidak menghisap rokok
  • Tidak minum arak
  • Tidak makan terlalu banyak

“Tiga amalan TIDAK ini yang saya amalkan.

“Dalam soal penjagaan makanan perlu juga dititikberatkan seperti pastikan berhenti sebelum kenyang kerana jika tidak beringat maka perut pun mudah jadi besar,” katanya ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian.

Tun M juga turut nasihati orang ramai supaya menjaga jantung masing-masing kerana ia merupakan organ penting dalam tubuh badan.

“Jantung bekerja sepanjang masa, dari dalam rahim lagi hingga akhir hayat kita, jadi ingat-ingatlah sikit dan janganlah bagi ia kerja banyak.

“Bila badan kecil, jantung berupaya bekerja dengan mudah untuk mengepam darah ke seluruh tubuh, tapi bila badan besar, organ tersebut perlu bekerja dengan lebih kuat lagi,” katanya.

Tun M juga turut berkongsi petua yang diberikan oleh ibunya satu ketika dahulu.

Iklan

“Ibu saya kata, ketika tengah seronok makan, berhenti. Apabila kita biasakan diri dengan tabiat ini, ia akan menjadi lebih mudah.

“Sebab itu, seluar yang saya beli 40 tahun dahulu masih lagi muat,” tambahnya.

Sementara itu, sempena sambutan ulang tahun Tun M hari ini, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antara individu terawal membuat ucapan menerusi status yang dimuat naik di laman Twitter Rasmi pagi tadi yang antara lain mendoakan kesihatan dan kepanjangan usia Tun.

”Happy 95th birthday sir.

”Semoga Tun Dr Mahathir dilimpahkan rahmat, ketenangan, kesihatan dan dilanjutkan usia” tulisnya.

Status tersebut mendapat perhatian daripada warganet dengan dibanjiri ribuan komen dan perkongsian serta menerima tanda suka lebih 3.8ribu, dalam tempoh sejam setelah dimuat naik.