SEMALAM kita dikejutkan sekali lagi dengan kes yang mana seorang bapa tergamak menikam bayi perempuannya yang berusia 18 bulan di sebuah flat di Puchong Permai, Selangor.

Kejadian tidak diduga itu berlaku sekitar jam 4 petang ketika suspek berusia 27 tahun bersama anaknya berada di rumah.

Menurut laporan akhbar tempatan, suspek dikatakan telah mengamuk secara tiba-tiba dan bertindak menikam perut anak perempuannya itu

Ternyata perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku tambahan pula suspek merupakan ayah kandung kepada mangsa.

Namun, kejadian seumpama itu juga kerap dilaporkan berlaku sejak kebelakangan ini dan ternyata motif utama suspek mampu bertindak diluar jangkaan seperti itu menjadi tanda tanya warganet sehingga ke hari ini.

Antara kejadian ‘kes tikam’ yang pernah dilaporkan berlaku di Malaysia yang melibatkan suspek dan mangsanya ahli keluarga sendiri adalah seperti :

Iklan

1. Bayi mati dicekek, ibu ditikam (14 November 2019)

  • Bayi perempuan berusia tiga minggu maut selepas enam hari dirawat di hospital akibat dicekik, manakala ibunya kritikal kerana ditikam menggunakan pemutar skru di sebuah apartmen di Batu Caves, Gombak.
  • Bayi malang itu disahkan meninggal dunia jam 4.30 pagi, 19 November lalu ketika dirawat di Hospital Selayang, manakala ibunya dilaporkan dalam keadaan kritikal.

2. Penganggur tikam anak saudara (27 Januari 2020)

  • Seorang penganggur didakwa berhubung kes tikam anak saudaranya sendiri menggunakan pisau pemotong sayur.
  • Hasil ujian saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

3. Anak tikam bapa tegur main telefon bimbit (18 November 2020)

  • Seorang anak menikam bapanya dengan sebilah pisau selepas berang akibat ditegur kerana leka bermain telefon bimbit dalam kejadian di Rumah Rakyat Simpang Pertang, Jelebu, Negeri Sembilan.
  • Mangsa menegur suspek berusia 35 tahun yang asyik bermain telefon bimbit sehingga berlaku pertengkaran.
  • Mangsa kemudian memukul suspek dengan kerusi plastik menyebabkan suspek bertindak menikam mangsa dengan pisau.

4. Ibu maut ditikam anak, mayat diletak atas kerusi (12 November 2019)

  • Hayat seorang ibu berakhir dalam keadaan tragis dan menyayat hati selepas dipercayai ditikam anak kandungnya di rumah mereka di Taman Kampung Padang, Kuantan, Pahang.
  • Dalam kejadian itu, mangsa, Sefiah Hamid, 62, maut dengan kesan tikaman di bahagian leher kanannya dipercayai ditikam anak lelakinya yang sakit mental.
  • Suspek berumur 38 tahun itu bertindak meletakkan mayat ibunya di atas kerusi roda sebelum menolak keluar dari rumah sejauh 50 meter.

Namun hakikatnya, tidak semua keluarga memiliki suasana harmoni yang sentiasa hidup bahagia. Banyak kisah hubungan pasangan dengan anak tidak mendengar kata dan ada juga yang kurang bernasip baik mendapat ahli keluarga yang mengalami masalah kesihatan.

Iklan

Oleh demikian, golongan seperti itu perlu didekati dengan cara yang sedikit berbeza dan jika perlu ditegur mereka tidak boleh ditegur dengan kasar atau keras.

Segala masalah dalam hubungan kekeluargaan dapat diselesaikan jika ia dibincang dengan cara berhemah.