PADA 26 Mei 2021, kita akan berpeluang melihat fenomena gerhana bulan penuh yang dinamakan Super Blood Moon. Di Malaysia, rakyat di negeri Kelantan berpeluang melihat fenomena ini secara terang.

Super Blood Moon ini berlaku secara berperingkat bermula jam 7.11 malam dan kemuncak gerhana bulan penuh itu dapat disaksikan selang tujuh minit kemudian, iaitu pada jam 7.18 malam.

Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk melakukan amalan khusus ketika fenomena ini berlangsung seperti melihat gerhana, menunaikan solat sunat gerhana dan khutbah gerhana.

Solat sunat gerhana boleh dilakukan sama ada secara berseorangan atau berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Khaifiat yang lebih sempurna adalah seperti berikut:

Rakaat Pertama

  1. Takbiratul Ihram.
  2. Membaca doa Iftitah.
  3. Membaca surah al-Fatihah.
  4. Membaca surah al-Baqarah atau mana-mana surah.
  5. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira 100 ayat.
  6. lktidal serta membaca surah al-Fatihah.
  7. Membaca surah Ali-lmran atau mana-mana surah.
  8. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira 90 ayat.
  9. Iktidal.
  10. Sujud dan membaca tasbih.
  11. Duduk antara dua sujud.
  12. Sujud kembali.
  13. Berdiri ke rakaat kedua.

Rakaat Kedua

1. Membaca surah al-Fatihah.
2. Membaca surah al-Nisa’ atau mana-mana surah.
3. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira 70 ayat.
4. lktidal serta membaca surah al-Fatihah.
5. Membaca surah al-Maidah atau mana-mana surah.
6. Ruku dan membaca tasbih kira-kira 50 ayat.
7. Iktidal.
8. Sujud dan membaca tasbih.
9. Duduk antara dua sujud.
10. Sujud kembali.
11. Membaca tasyahud akhir.
12. Memberi salam.

Solat sunat gerhana boleh dilakukan di mana-mana sama ada di rumah, musolla, surau atau masjid. Walau bagaimanapun yang afdhal ialah masjid yang didirikan Jumaat. Namun disebabkan negara kita sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0) akibat pendemik Covid-19 yang melanda, korang dinasihatkan untuk kekal berada dirumah.

 

Baca juga: ‘Supermoon’ terbesar, paling terang bakal berlaku 26 Mei. Ketahui Mitos dan kepercayaan tentang fenomena gerhana

 

Menurut Facebook Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), seluruh masjid, surau Jumaat dan surau Wilayah Persekutuan akan mengadakan solat sunat dan khutbah gerhana selepas solat Maghrib pada Hari Rabu ini bermula jam 7.18 malam sehingga 8.52 malam.

Iklan

 

5 amalan sunat semasa gerhana bulan. Elak percaya sebarang khurafat, tahyul, banyakkan istighfar dan sedekah

 

Selain itu, amalan lain yang boleh dilakukan oleh umat Islam sewaktu gerhana ialah seperti berikut;

Iklan

Melakukan dua kali khutbah selepas melaksanakan solat sunat gerhana.
Memperbanyakkan doa kepada Allah memohon keselamatan dan menolak bala bencana.
Beristighfar
Bersedekah
Mengelakkan diri daripada mempercayai sebarang khurafat, tahyul dan iktikad yang salah mengenai kejadian gerhana. Rasulullah SAW membantah kepercayaan ini sewaktu berlakunya gerhana berbetulan dengan wafatnya putera Baginda iaitu Ibrahim:

Maksudnya: Sesungguhnya matahari dan bulan itu ialah dua tanda daripada tanda-tanda kekuasaan ALLAH, tidaklah keduanya bergerhana kerana matinya seseorang dan tidak pula kerana hidupnya. Jika kalian melihat gerhana, maka berdoalah kepada ALLAH, bertakbir, laksanakan solat dan bersedekah. Hadis riwayat Imam al-Bukhari (1044)

Patuhilah SOP PKP3.0. Korang masih boleh menyaksikan fenomena gerhana ini dari rumah disamping melakukan amalan yang disunatkan bersama keluarga.

Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan & Pejabat Mufti Wilayah