SETIAP kali permulaan sesi persekolahan, banyak wang perlu dilaburkan untuk pelbagai bayaran dan pembelian keperluan persekolahan.

Berita baik bagi ibu bapa, melalui Bajet 2022 yang baru diumumkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bakal diagihkan kepada yang layak.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan juga bersetuju menyediakan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 bagi meringankan beban ibu bapa menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak.

“Sejumlah RM450 juta diperuntukan yang dijangka memanfaatkan tiga juta murid yang layak.

“Dengan sekolah mula dibuka, suasana pembelajaran yang kondusif buat anak-anak akan terus diberi perhatian,” katanya dalam pembentangan Bajet 2022 di Parlimen.

Untuk pengetahuan semua, berikut adalah lima info mengenai bantuan ini

1-Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 bagi setiap murid diumumkan menerusi Bajet 2022.

2-Ia bakal memanfaatkan seramai 3 juta murid dengan jumlah yang diperuntukkan sebanyak RM450 juta.

3-Bantuan tersebut diberikan secara one-off di mana mereka akan menerima RM150 secara sekali gus.

4-Terdahulu, bantuan ini memperuntukkan RM100 untuk setiap murid. Menerusi Belanjawan 2022, jumlahnya ditingkatkan kepada RM150

5-Bantuan Awal Persekolahan mula diperkenalkan pada tahun 2012 bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga terutamanya pada awal tahun.

Menurut laman web rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia, bantuan ini diberikan kepada murid-murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya daripada kalangan keluarga yang berpendapatan isi rumah kasar RM3,000.00 dan ke bawah.

Iklan

Manakala pemilihan dan kriteria kelayakan adalah seperti berikut:

-Murid warganegara Malaysia (perlu dibuktikan dengan sijil lahir/mykid/mykad yang disahkan atau apa-apa dokumen yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia).

-Murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya yang berasal dari kalangan isi rumah berpendapatan bulanan KASAR sebanyak RM3,000.00 dan ke bawah pada tahun semasa.

Pendapatan kasar bulanan adalah pendapatan yang mengambil kira gaji hakiki/pokok dan elaun-elaun tetap sahaja. Elaun lebih masa dan elaun-elaun yang bersifat tidak tetap tidak boleh diambil kira sebagai pendapatan kasar bulanan.

Iklan

-Bantuan ini diberikan kepada murid-murid yang bersekolah di Sekolah Kerajaan (SK), Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK), Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Swasta (selain sekolah antarabangsa).

Semoga bantuan ini dapat membantu ibu bapa menyediakan keperluan persekolahan kepada anak-anak sekali gus meningkatkan tahap pendidikan ke arah lebih cemerlang dan memperbaiki taraf kehidupan pada masa hadapan.

Baca juga: Hutang wajib dibayar! Diskaun sehingga 15 peratus bayaran balik PTPTN

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram! 

Sumber: Telegram MKN, Kementerian Pendidikan Malaysia