PEREMPUAN bertudung memang mempunyai banyak koleksi tudung tak kira jenis tudung sekalipun. Bawal ke, shawl ke, instant ke dan macam-macam jenis lagi.

Mesti dah berpuluh-puluh koleksi dan mungkin ada yang sampai satu almari koleksi tudung dia. Tak mustahil ada banyak macam tu.

Paling sayang, jika tudung yang biasa dipakai tiba-tiba ‘rosak’ seperti tertarik benang, turun warna atau bercapuk apabila dibasuh. Basuh sekali lagi pun tak juga hilang kesan kotoran.

Jangan risau, di sini SinarPlus nak kongsikan tip penjagaan tudung supaya tahan lama, sesuai buat anda si gadis berhijab.

1. Gunakan pelembut fabrik

Terpulang jenama dan bauan apa yang anda suka, pastikan tudung itu direndam selama 10-15 minit di dalam air suam yang dicampurkan bersama bahan pencuci dan pelembut fabrik. Pastikan bahan pencuci itu jenis cecair ya. Selepas itu, bilas tudung dengan air bersih macam biasa sehingga kesan sabun dan pelembut fabrik tidak melekat pada tudung. Tak perlu perah air terlalu kuat pada tudung, kemudian sidai seperti biasa.

2. Jangan cuci tudung menggunakan mesin basuh

Tak usahlah malas sangat sampai tudung pun nak dicampak ke dalam mesin basuh bersama baju-baju yang lain. Kalau ada baju yang turun warna, confirm melekat di tudung. Biasakan diri mencuci tudung bersama tudung sahaja. Kalau nak juga basuh menggunakan mesin basuh, pastikan tudung anda dimasukkan dalam bekas berjaring supaya fabrik tak cepat rosak. Juga elakkan penggunaan dryer kerana ini akan merosakkan lagi tekstur tudung anda.

3. Elak sental tudung terlalu kuat

Tengah sedap-sedap makan, tak sedar pula ada kuah kari tertumpah di tudung. Tak kurang juga berhias secara kelam-kabut sehingga kesan gincu dan maskara terlekat di tudung. Untuk elakkan tudung cepat rosak, letak sabun di bahagian terkena kotoran dan biarkan seketika. Kemudian sental dengan menggunakan tangan atau ramas tudung secara lembut dan perlahan sehingga kotoran hilang.

4. Jangan sidai di bawah matahari terik

Iklan

Kononnya mahu cepat kering, tapi tudung yang disidai di bawah cahaya matahari yang terik akan menyebabkan warna tudung semakin cepat pudar. Seeloknya tudung disidai di tempat cahaya yang redup. Kebiasaannya fabrik tudung ni ringan, jadi sekejap sahaja boleh kering walaupun tak diletakkan di bawah cahaya matahari secara direct.

5. Guna suhu rendah apabila menggosok

Anda kena tahu suhu apa yang sesuai dengan fabrik instant shawl sebelum menggosok tudung. Contohnya apabila menggosok tudung dari fabrik silk dan chiffon, gunakan suhu yang rendah untuk elakkan tudung daripada terbakar atau berlubang.

Tips tambahan:

Iklan

Gunakan jarum yang tajam semasa menggayakan tudung untuk mengelakkannya berbulu. Lebih baik jika anda menggunakan ‘magnetik’ pin supaya fabrik tidak rosak.

Demikian adalah beberapa tip penjagaan tudung yang anda boleh amalkan. Diharapkan ianya dapat membantu anda menjaga tudung supaya tahan lama dan kekal seperti baru.

PENULIS: NURUL ADRIANA
FOTO: CANVA, UNSPLASH