MOTOSIKAL berusia dua tahun ke atas yang perlu menempuh perjalanan jauh setiap hari memerlukan penjagaan rapi terutama pada bahagian-bahagian yang penting.

Ia sewajarnya diambil perhatian demi menjamin keselamatan pengguna ketika menunggang. Pun begitu, ramai yang beranggapan motosikal tidak perlu diperiksa selagi tidak rosak.

Tahukah anda ada beberapa bahagian pada motosikal harus diperiksa dan diberi perhatian setiap kali sebelum menunggang memulakan perjalanan?

Sinar Plus ingin berkongsi beberapa tip mudah yang boleh diguna pakai dalam penjagaan motosikal.

Antara bahagian yang perlu diberi penekanan penting adalah seperti berikut:

1. Saluran getah minyak

Pastikan tiada kebocoran, rosak atau kembang dan selamat digunakan sepenuhnya.

Sekiranya terdapat tanda-tanda kebocoran atau bau minyak, jangan tunggu lama, terus ke bengkel berhampiran untuk menukar kepada yang baharu.

2. Rantai motor

Semburkan rantai motosikal dengan penyembur minyak rantai pada setiap 300 kilometer perjalanan atau dua hari sekali.

Rantai kering atau berkarat akan merosakkan sprocket dan boleh menyebabkannya ia putus. Rantai terlalu lama digunakan atau longgar, keras, berkarat dan sebagainya harus ditukar bersama sprocket depan dan belakang. Rantai juga harus diikat tidak terlalu ketat atau longgar.

3. Periksa sistem brek

Sistem brek adalah antara bahagian terpenting bagi memastikan keselamatan terjamin dan mengelak kemalangan yang tidak diingini.

Periksa tekanan brek depan dan belakang, minyak brek mencukupi, lapisan brek atau servis setiap enam bulan. Pastikan juga lampu brek menyala apabila ditekan dan berfungsi dengan baik.

4. Periksa minyak enjin

Paras minyak enjin harus diperiksa agar tepat dan mencukupi. Enjin tidak akan bermasalah jika penjagaan atau pertukaran minyak mengikut masa atau jarak kilometer ditetapkan.

Iklan

Itu penting untuk memastikan kelancaran dan ketahanan enjin. Penggunaan minyak enjin yang berjenama adalah digalakkan untuk kelancaran berpanjangan.

5. Periksa tali kabel

Periksa kesemua tali kabel iaitu brek, klac dan minyak. Pastikan ia lembut dan tidak terlalu keras bila ditarik. Ini penting kerana tali kabel yang keras dan berkarat akan menyebabkan ia putus atau keras bila ditarik dan akan mengganggu kelancaran penunggangan.

Kadangkala kita terlihat motosikal disorong kerana kabel minyak atau klac yang putus. Hal itu berlaku apabila kabel berkarat.

Iklan

6. Tayar

Tayar juga merupakan bahagian terpenting dalam sesebuah jentera. Periksa tekanan angin agar mencukupi mengikut bacaan tepat pada tayar depan dan belakang.

Tayar harus ditukar sekiranya terdapat rekahan terutama pada usia hampir setahun atau sering menggunakannya untuk perjalanan jauh. Gunakanlah tayar bermutu tinggi terutama bagi mereka yang kerap berkonvoi atau suka menunggang laju demi menjamin keselamatan ketika menunggang.

7. Lampu dan bateri berfungsi

Seelok-eloknya periksa lampu hadapan, belakang dan lampu membelok sebelum memulakan perjalanan. Lampu sangat penting terutama ketika menunggang pada waktu hujan.

Jangka hayat bateri yang dijaga dengan betul adalah antara satu hingga dua tahun sahaja. Periksa tarikh terakhir ia ditukar. Walaupun bateri motosikal dibina agar tahan lasak, masih ada faktor-faktor yang boleh mengganggu usia bateri motosikal anda.