SEJAK kebelakangan ini, pokok hiasan lidah jin atau juga dikenali sebagai pokok lidah mertua semakin mendapat tempat untuk dijadikan dekorasi di dalam rumah.

Bagaimanapun, seorang ahli Kimia, Dr Fatimah Salim melahirkan kebimbangan penyimpanan pokok dengan nama saintifik Sansevieria Trifasciata di dalam rumah lebih-lebih lagi jika ditanam dalam bekas menggunakan tanah.

Kenapa ya?

Ya untuk makluman, bekas tanaman yang menggunakan tanah seperti pokok hiasan di dalam rumah mampu membiakkan mikroorganisma seterusnya menjejaskan kesihatan golongan tertentu.

Memetik laporan yang diterbitkan oleh portal akhbar tempatan, menurut Fello Penyelidik di Institut Penyelidikan Sebatian Semulajadi Atta-ur-Rahman (AuRIns), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor itu, antara lain ia dilihat tidak sesuai ditaman di dalam rumah yang menggunakan tanah adalah seperti berikut :

  1. Tanah adalah tempat paling kondusif untuk mikroorganisma bermandiri kerana kandungan bahan organik, inorganik dan mineral yang tinggi. Setiap jenis tanah didiami mikroorganisma yang berbeza seperti bakteria, alga, kulat, protozoa, actinomycetes dan ciliata.Setiap satu gram tanah yang subur mengandungi 10 bilion sel mikroorganisma terutama berdekatan dengan akar pokok (rhizosphere).
  2. Buat individu yang lemah sistem imuniti, ia akan akan mudah terkesan dengan kehadiran mikroorganisma ini.
  3. Bagi yang mempunyai anak kecil pula dinasihatkan agar berwaspada kerana pokok tersebut mengandungi bahan aktif dikenali sebagai Saponin yang boleh menyebabkan gejala ringan seperti muntah, cirit birit dan ruam jika termakan.
  4. Selain itu, ia juga mungkin menyebabkan gejala lebih teruk kepada haiwan peliharaan seperti anjing atau kucing antaranya pengeluaran air liur berlebihan, kurang selera makan, lesu dan muntah-muntah.

Dr Fatimah yang juga pensyarah kanan kimia, Pusat Asasi UiTM, Dengkil, Selangor berkata, terdapat alternatif kepada tanah jika ingin menyimpan pokok itu di dalam rumah antaranya tanah liat yang dikembangkan atau Leca, sabut kelapa, sekam padi, ‘perlite’ iaitu sejenis mineral hasil letusan gunung atau menggunakan kaedah hidroponik.

Iklan

“Boleh juga gunakan air sahaja namun harus rajin menukarnya untuk elak nyamuk bertelur dan mengurangkan mikoorganisma bermandiri. Aktiviti mikoorganisma mudah dikesan iaitu dengan kehadiran bau kurang menyenangkan daripada bekas atau bahagian yang terendam seakan berlumut,” jelasnya.

Dalam keghairahan menanam pokok tular ini di dalam rumah, pastikan korang sentiasa berwaspada khususnya jika mempunyai anak-anak kecil.

Iklan

Mereka mungkin terdedah pada bahan aktif Saponin yang berisiko menyebabkan keracunan.

Jadi, berhati-hati ya! Jangan terlalu ikutkan perkara yang tular dan semberono sahaja. Sebaiknya kaji dulu baik buruk dan akibatnya.