DISEBABKAN sekarang musim hujan sedang melanda, rider jalan raya perlu lebih peka dan berhati-hati ketika menunggang.

Pastinya memandu dalam keadaan hujan mahupun jalan yang basah mampu mengundang pelbagai risiko kemalangan jalan raya. Bak kata pepatah, “malang itu tidak berbau”.

Begitulah malangnya nasib yang menimpa seorang penunggang motosikal apabila dia diseret sejauh satu kilometer oleh sebuah lori baru-baru ini.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di MRR2 selepas bulatan Batu Caves, menghala ke Kepong, Selangor.

Berita menyedihkan itu kini tular di media sosial setelah dikongsikan oleh pengguna Twitter yang dikenali sebagai Mohd Redzuan Abdul Manap.

Menerusi perkongsian beliau, mangsa yang dikenali sebagai Wong Chun Hung, 20, telah diseret satu kilometer oleh sebuah lori.

Kejadian tersebut hanya disedari pemandu lori tersebut apabila penunggang motosikal yang lain membunyikan hon sebagai ‘tanda’ untuk pemandu lori itu berhenti.

Mangsa ketika itu, menunggang sebuah motosikal jenis MZ Motorrad, di lorong kiri jalan dikatakan terbabas ketika melanggar lopak air.

Susulan pelanggaran itu, motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh ke lorong tengah jalan dan dilanggar lori.

Akibat insiden tersebut, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan

Hati-hati dengan lopak air kerana ia sangat bahaya dan boleh menyebabkan kita hilang kawalan dengan mudah!

Lopak air akan menyebabkan cengkaman tayar menjadi kurang lekat. Selain itu, lopak air yang dalam akibat jalan berlubang mungkin akan mengakibatkan korang terjatuh daripada motosikal.

Jadi, cuba elak lopak air selagi boleh. Namun, jangan pula korang menunggang terhuyung hayang macam orang mabuk semata-mata nak mengelak lubang pula. Itu lagi bahaya!

Iklan

Untuk itu, bagi semua penunggang motosikal, sentiasa semat dalam hati bahawa kondisi jalan raya semasa cuaca buruk sudah pasti akan basah dan licin.

Jadi, jangan sesekali bawa terlalu laju dan usah memotong kenderaan di hadapan secara membabi-buta.

Jika terlalu lebat sehingga penglihatan terhad, langkah terbaik berhenti seketika di tempat teduh yang selamat.