RASANYA kini ramai sedia maklum semalam kerajaan telah memperkenalkan Program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mana kini dibuka dan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat penularan Covid-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tidak kira sama ada disebabkan hilang pekerjaan atau terkurang pendapatan mereka tahun ini, pencarum layak memohon untuk membuat pengeluaran daripada akaun satu KWSP.

Baru sahaja sehari diumumkan perlaksanaannya, kini dilihat ramai pihak tidak bertanggung jawab menunggu peluang untuk mengambil kesempatan atas kesulitan ramai dengan menawarkan pelbagai aplikasi atas talian pengeluaran wang akaun KWSP.

AWAS! Itu semua palsu dan merupakan sindiket licik pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menipu dan mengaut keuntungan dengan cara mudah!

Memetik laporan portal media tempatan, KWSP juga mengingatkan ahlinya agar tidak bersubahat dengan sindiket atau ejen yang menawarkan bantuan mengeluarkan simpanan mereka dengan cara penipuan.

KWSP memandang serius penipuan pengeluaran kerana ia merupakan kesalahan serius serta tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap ahli yang terlibat.

Awas! i-Sinar tidak tersedia melalui aplikasi palsu, jangan tertipu!

Bagi ahli yang menghadapi masalah kewangan diingatkan agar berhati-hati dengan iklan di beberapa laman web atau ejen yang mengedarkan kad perniagaan dan risalah dengan menawarkan pekhidmatan untuk membantu mengeluarkan simpanan KWSP mereka.

Jangan terus percaya, sebaiknya selidik dahulu atau hubungi pihak-pihak tertentu yang mana tindakan itu jauh lebih baik bagi mendapat kepastian.

Untuk makluman, KWSP tidak pernah melantik atau meluluskan perkhidmatan pihak ketiga untuk mempercepatkan permohonan pengeluaran.

Iklan

Ahli yang ingin membuat pengeluaran boleh terus berhubung dengan KWSP yang menawarkan khidmat pengeluaran percuma.

KWSP juga mempunyai sistem komprehensif untuk mengesan sebarang penipuan atau cubaan untuk menipu pengeluaran walaupun selepas simpanan tersebut dikeluarkan.

Penipuan pengeluaran termasuk penghantaran dokumen palsu oleh ahli dengan tujuan untuk mempercepatkan kelulusan pengeluaran merupakan kesalahan mengikut Akta KWSP 1991 yang boleh dikenakan hukuman maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Iklan

Jadi awas! Jangan mudah tertipu atau guna cara pantas untuk membuat sebarang pengeluaran wang KWSP.

Ingat, sindiket itu sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mengambil kesempatan menipu atas kecuaian yang dibuat oleh kita sendiri.

Semoga bermanfaat!