BUKAN sahaja telurnya yang diburu, malah kini daging penyu juga menjadi antara rebutan penggemar makanan eksotik dari dalam dan luar Negara.

Namun, menurut Pensyarah Biologi Marin Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Muhammad Hafiz Borkhanuddin berkata, daging penyu boleh menjadi punca terjadinya penyakit kronik yang mampu menyebabkan kematian.

Memetik laporan portal media tempatan, beliau berkata, ini kerana penyu mempunyai kandungan logam berat tinggi yang melebihi standard keselamatan makanan antarabangsa.

“Ini boleh mengakibatkan kesan toksik termasuk penyakit ginjal, barah hati dan kesan perkembangan pada janin dan kanak-kanak.

“Selain itu, daging penyu juga mempunyai bakteria, parasit, biotoksin dan tempat pengumpulan bakteria yang terhasil daripada pencemaran alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas amalan memakan daging penyu oleh penggemar makanan eksotik.

Ketika ini, daging penyu dijual melalui pasaran gelap bagi memenuhi permintaan peminat makanan eksotik di dalam dan luar negara yang turut menjadikan Malaysia sebagai lokasi mendapatkan haiwan terancam itu.

Iklan

Muhammad Hafiz berkata, daripada perspektif parasitologi, terdapat banyak laporan yang merekodkan kehadiran telur dan cacing parasit pada penyu seperti cacing ‘trematoda’.

“Parasit-trematoda dewasa dijumpai terutamanya di jantung, manakala telur ‘trematoda’ boleh dijumpai di pelbagai organ termasuk otak, jantung, hati, paru-paru, limpa, ginjal, kulit, perut dan usus.

“Sebagai contoh, kajian yang dijalankan ke atas penduduk Orang Asli di Australia telah menjumpai telur cacing ini di dalam najis kanak-kanak masyarakat tersebut.

Ini sekali gus menunjukkan risiko jangkitan akibat memakan daging penyu memang berlaku, seterusnya memberi indikasi bahawa cacing dewasa mampu membiak di dalam badan kanak-kanak terbabit,” katanya.

Iklan

Katanya secara am kesan kesihatan yang dilaporkan akibat memakan daging penyu atau telurnya yang dijangkiti patogen zoonotik termasuklah cirit-birit, muntah dan dehidrasi melampau yang boleh menyebabkan kematian.

“Oleh yang demikian, aktiviti pengambilan daging dan telur penyu hendaklah dihentikan bagi mengurangkan kesan kesihatan kepada manusia, di samping keperluan untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat umum mengenai perkara ini.

“Bagi mereka yang beragama Islam, larangan memakan daging penyu telah dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kerana haiwan itu adalah kumpulan haiwan dua alam seperti katak, buaya dan lain-lain,” katanya.

— BERNAMA