AWAS! Proton Holdings Berhad (Proton) menegaskan mereka langsung tidak pernah melantik mana-mana pihak di luar rangkaian jualan rasminya sebagai ejen jualan.

Sebaliknya, pengeluar kenderaan pertama negara itu memaklumkan, ia hanya menerima tempahan menerusi rangkaian jualan Proton rasmi sahaja.

“Malangnya, kami dimaklumkan bahawa ada pihak telah memberi gambaran yang tidak benar dengan mengatakan mereka adalah ejen Proton ataupun mempunyai kaitan dengan Proton demi mengaut keuntungan.

“Pihak Proton ingin menegaskan bahawa hanya tempahan yang diterima melalui rangkaian jualan Proton yang rasmi akan diakui sebagai tempahan yang sah.

“Proton tidak pernah melantik mana-mana pihak di luar rangkaian jualan rasminya sebagai ejen jualan produk kami,” katanya dalam satu kenyataan media.

Untuk pengetahuan korang, menurut Proton, ada pihak memberi gambaran palsu mendakwa mereka ejen Proton yang boleh menerima tempahan model terbaharu kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak baharu, Proton X50.

SUV X50 kini menjadi sebutan dan bahan bualan orang ramai sejak ia di pra-tonton kepada media baru-baru ini.

AWAS! tempahan Proton X50 melalui pihak ketiga tidak sah

Lebih mengejutkan, orang ramai langsung tidak pernah melihat apatah lagi menyentuh model ini di pusat pengedaran Proton di seluruh negara, tetapi mereka membuat tempahan hanya berdasarkan laporan media dan gambar yang tersebar di media sosial.

Disebabkan itu kini ramai daripada individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dan sentiasa mencuri peluang untuk menipu orang ramai atau melakukan jenayah.

Iklan

Mana tidaknya dengan hanya RM500, SUV tersebut boleh ditempah walaupun ia belum dilancarkan secara rasmi.

“Pelancaran Proton X50 yang bakal berlaku tidak lama lagi telah menarik minat ramai pembeli kereta di Malaysia.

“Jumlah tempahan awal yang telah diterima amat memberangsangkan dan pihak Proton ingin mengucapkan terma kasih kepada semua yang memberi sokongan,” katanya.

Proton dalam pada itu menasihati semua bakal pembeli supaya sentiasa berwaspada dengan sebarang tuntutan dari individu atau organisasi.

Iklan

Pada masa sama, ia memohon semua pelanggan menghubungi pihak Proton untuk sebarang kemusykilan.

Untuk maklumat lanjut mengenai lokasi rangkaian jualan rasmi Proton, sila layari laman web rasmi proton di https://www.proton.com/en/dealer-locator atau hubungi talian khidmat pelanggan di 1-800-88-8398.