HATI-HATI buat abang-abang dan sis ‘lajak’ yang sakan sangat shopping basikal mahal-mahal! Harga basikal sekarang bukan calang-calang, mencecah ribuan ringgit sehingga ada pembeli yang sanggup buat loan bayar bulan-bulan.

Oleh itu awas! Baru-baru ini polis menahan dua lelaki dan merampas 13 basikal berjenama yang bernilai sekitar RM10,000 disyaki basikal curi dalam serbuan di sekitar sini Ahad lepas.

Memetik laporan portal akhbar tempatan, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, dua lelaki berumur 28 dan 38 tahun itu ditahan pada pukul 4.00 pagi di kawasan Bertam Perdana, dipercayai sedang meninjau sekitar kawasan perumahan itu untuk mencuri.

Beliau berkata, polis menahan mereka kerana kelihatan mencurigakan, dan hasil pemeriksaan polis menemui beberapa batang spanar diselit belakang pinggang, malah mereka mengaku sedang buat tinjauan di kawasan itu untuk mencuri basikal berjenama yang sekarang ini menjadi kegilaan orang ramai.

“Susulan penahanan, polis menyerbu beberapa lokasi sekitar Kepala Batas dan merampas 13 buah basikal yang dipercayai dicuri kedua-dua lelaki berkenaan, semua basikal itu belum sempat dijual oleh suspek,” katanya.

Kegiatan jenayah itu didakwa aktif sejak tiga bulan lepas di sekitar daerah SPU yang mana hobi berbasikal kini dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan orang ramai dengan permintaan yang begitu tinggi sejak dua menjak ini.

Lebih mengejutkan, basikal yang di curi bernilai antara RM1,000 hingga RM2,000 dijual dengan harga sekitar RM80 hingga RM200 sahaja.

Wow! Memang pisang goreng panas lah jadinya kalau jual dengan harga tersebut. Pandai hang, ‘target’ basikal berjenama!

Basikal berjenama ‘tak selamat’ dah makin panas!

Iklan

Kedua-dua pesalah juga merupakan penganggur yang positif dadah itu masing-masing mempunyai tiga serta lima rekod lampau dan siasatan mendapati mereka terlibat sekurang-kurangnya dalam sembilan kes curi basikal di Ssberang Perai Utara, malah polis percaya suspek turut terlibat dalam kes curi di daerah lain di Pulau Pinang.

Pesalah juga kini direman sehingga tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu curi.

Iklan

Pihak polis meminta orang ramai yang kehilangan basikal berjenama agar tampil di Balai Polis Kepala Batas untuk membuat laporan dan pengecaman.

Mana tau ada rezeki dapat balik.