BANTUAN Prihatin Rakyat adalah antara bantuan kewangan disalurkan kerajaan kepada golongan B40. Inisiatif tersebut membantu khususnya mereka yang terjejas ekonomi ekoran penularan pandemik Covid-19.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 tahun, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan bahawa Bantuan Sara Hidup (BSH) digantikan dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). Ia memperuntukan sebanyak RM6.5 bilion yang dijangka memberi manfaat untuk 8.1 juta orang.

Fasa 1 pembayaran BPR berjumlah RM1.93 bilion telah dibayar kepada 8.4 juta penerima antara 24 Februari hingga 1 April 2021.

Zafrul dalam kenyataan memaklumkan Fasa 2 pembayaran BPR akan menyusul untuk memanfaatkan jumlah penerima sama merangkumi 3.6 juta isi rumah, 1.0 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.8 juta individu bujang.

Mereka akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 7 Mei 2021 melibatkan peruntukan berjumlah RM2.75 bilion. Peningkatan peruntukan adalah berikutan penambahbaikan kadar bayaran kepada penerima.

Jika dahulu, penerima kategori isi rumah menerima RM300 dan penerima bujang menerima RM150, kini pembayaran kepada penerima adalah antara RM150 hingga RM600, berdasarkan kelayakan setiap penerima.

Semakan status kelulusan BPR boleh dibuat mulai 7 Mei 2021 melalui pautan: https://bpr.hasil.gov.my.

Kata Zafrul, bagi memastikan program BPR disasarkan kepada mereka yang layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun 2021.

Dengan adanya proses rayuan sebahagian daripada mereka yang telah ditolak permohonan masih diberi peluang mengemukakan rayuan berserta dokumen berkaitan untuk disemak semula pihak LHDNM.

Mengambil kira pembayaran Fasa 1 dan Fasa 2 BPR, jumlah bantuan kewangan yang telah disalurkan kepada hampir 8.4 juta penerima BPR adalah sebanyak RM4.68 bilion. Mengimbas kembali, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM1.91 bilion kepada golongan B40 juga telah dibayar mulai 21 Januari 2021.

Iklan

Oleh itu, setakat Mei 2021, jumlah keseluruhan bantuan langsung Kerajaan (merangkumi BPN2.0 dan BPR Fasa 1 dan 2) yang telah dan akan disalurkan bagi golongan B40 adalah bernilai RM6.59 bilion.

Ujarnya, kerajaan sentiasa komited memastikan bantuan diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Baca juga Bayaran BPR Fasa 2 Awal Mei Ini! Ini Jumlah Baki Bantuan Ikut Kategori

Iklan

Keprihatinan kerajaan dalam waktu genting begini meringankan bebanan ditanggung rakyat. Diharapkan korang yang menerima bayaran BPR membelanjakannya secara berhemah.

Sumber: bpr.hasil.gov.my