Bijak urus belanjawan peribadi, bersedia hadapi hari tua

Bijak urus belanjawan peribadi, bersedia hadapi hari tua
March 5, 2021
Oleh Meen

PANDEMIK Covid-19 tidak hanya menjejaskan soal kesihatan, tetapi telah mengubah landskap global dan turut memberi kesan besar kepada persekitaran kewangan dalam kalangan individu.

Mengetahui cara terbaik untuk berbelanja, berjimat dan melabur mungkin bukan satu isu besar sebelum ini.

Iklan

Namun, krisis pandemik Covid-19 yang melanda menyebabkan pengurusan kewangan kebanyakan rakyat Malaysia kini menjadi kucar-kacir.

Keadaan kini memaksa orang ramai untuk mengakui celik kewangan sebagai satu kemahiran penting supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan terutama ketika krisis berlaku, sama ada di peringkat global mahupun peribadi.

Malaysianow.com melaporkan, melalui satu kaji selidik Celik Kewangan Malaysia RinggitPlus 2020 mendedahkan tabiat kewangan rakyat Malaysia hampir tidak berubah dalam tempoh sama tahun lepas.

Iklan

Hampir separuh daripada responden mengatakan mereka masih lagi berbelanja mengikut pendapatan yang diperolehi atau lebih, manakala baki responden mendedahkan mereka berkemungkinan tidak mampu bertahan lebih daripada tiga bulan dengan hanya menggunakan simpanan mereka sekiranya hilang pekerjaan.

Selain itu, lebih 60 peratus daripada mereka yang berusia 35 tahun ke bawah tidak mengetahui wujudnya skim penstrukturan dan penjadualan semula hutang walaupun langkah sementara seperti moratorium dan bantuan bayaran semula pinjaman dilaksanakan ketika tempoh pandemik.

Iklan

Kaji selidik itu turut mendedahkan 70 peratus rakyat Malaysia mengatakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka mungkin tidak mencukupi apabila mereka bersara kelak. Manakala 45 peratus daripada mereka memberitahu masih belum ada sebarang perancangan kewangan persaraan dibuat.

Bijak urus belanjawan peribadi, bersedia hadapi hari tua
Pelaburan yang betul bakal menjana pulangan lumayan sebagai bekalan hari tua.

Bukti itu jelas menunjukkan ramai dalam kalangan rakyat hidup dalam keadaan sekadar cukup makan sepanjang hayat dan mungkin sekali atau langsung tidak pernah berfikir mengenai pengurusan kewangan peribadi mereka.

Beri pengajaran

Menurut Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pandemik Covid-19 ini ibarat membuka mata dan memberi pengajaran kepada seseorang untuk memastikan kedudukan kewangan mereka sentiasa dalam keadaan baik.

“Ini kerana kita tidak pasti bilakah suatu kejutan ekonomi itu akan berlaku seperti yang kita alami tahun lalu ketika berlakunya pandemik Covid-19.

“Kesannya menyebabkan ekonomi negara meleset apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara menguncup sebanyak 5.4 peratus.

“Ia merupakan prestasi terburuk selepas kita mengalami krisis kewangan Asia pada tahun 1997-1998 apabila KDNK mencatatkan penguncupan 7.4 peratus,” katanya kepada Sinar Harian.

Justeru kata beliau, keperluan untuk menyimpan penting kerana faktor inflasi sentiasa meningkat menyebabkan kuasa membeli seseorang itu terjejas.

Bijak urus belanjawan peribadi, bersedia hadapi hari tua
MOHD AFZANIZAM

“Kita lihat purata kenaikan inflasi sekitar 2.4 peratus setahun. Tidak cukup sekiranya seseorang itu hanya menyimpan kerana setiap tahun nilai wang yang disimpan itu akan menurun, kurang nilai dari sudut kuasa belinya.

“Oleh itu peranan untuk melabur penting bagi memastikan wang yang disimpan itu sentiasa mempunyai nilai tambah tersendiri,” katanya.

Menurutnya, rakyat tidak perlu bimbang kerana agensi seperti KWSP mempunyai penyelidik dan pasukan pelaburan sangat profesional serta berpengalaman untuk membuat keputusan lebih baik dalam konteks pelaburan.

Justeru katanya, agensi seperti KWSP dan juga syarikat pelaburan bertauliah sepatutnya menjadi ‘plus point’ kepada orang awam untuk terus menyimpan wang mereka.

“Nasihat saya, jangan sewenang-wenangnya mengeluarkan wang simpanan jika tiada keperluan mendesak memandangkan pulangan pelaburan begitu kompetitif.

“Adalah satu kerugian sekiranya pengeluaran itu dilakukan tanpa mengambil kira keperluannya. Caruman itu sepatutnya dibiarkan supaya berkembang seiring dengan pulangan pelaburan yang kompetitif yang ditawarkan.

Kekalkan simpanan

Beliau turut menggalakkan pekerja-pekerja supaya meneruskan membuat tabungan dan caruman secara konsisten untuk menikmati faktor berganda (compounding factor).

“Duit pokok yang disimpan akan bertambah melalui pemberian dividen dan akan dicampurkan dengan prinsipal sedia ada. Sekiranya dikekalkan, maka jumlah dividen yang dinikmati pada tahun berikutnya sangat tinggi disebabkan kesan pengganda ini (compounding factor),” katanya.

Beliau mahu masyarakat terutama golongan muda meletakkan disiplin yang tinggi supaya kedudukan kewangan mereka sentiasa terjamin.

“Penting bagi mereka untuk memastikan pendapatan diterima disimpan bagi tujuan kecemasan di samping sebahagiannya dilaburkan.

“Malah mereka perlu mempunyai belanjawan peribadi yang baik supaya dapat menikmati kehidupan lebih baik kemudian hari.

“Satu pengajaran terbaik sejak berlakunya pandemik Covid-19, masyarakat dilihat mula mengambil berat tentang pengetahuan dalam literasi kewangan,” katanya.

Jelasnya, pembahagian pendapatan mengikut peratusan setiap bulan membantu individu menguruskan kewangan peribadi dengan baik, cermat serta tidak mudah terdedah dengan krisis hutang.

“Sebenarnya tidak salah untuk menikmati hasil melalui pendapatan, cuma perbuatan membazir perlu dielakkan. Ini boleh ditangani dengan mengekalkan simpanan secara konsisten.

“Sekurang-kurangnya 10 atau 20 peratus pendapatan yang diperolehi hendaklah diperuntukkan untuk tabungan. Lebihannya boleh digunakan untuk perbelanjaan tetapi mestilah mengikut keutamaan,” katanya.

 

Iklan

About Meen

Biodata Penulis
Iklan