IKAN  keli kalau goreng je pun dah sedap dimakan dengan sedikit sambal dan ulam bersama nasi panas.

Namun satu masalah bila masak ikan ini adalah baunya hanyir. Kalau sudah mahir dan tahu untuk buang bau tidak enak ini, pasti tiada masalah.

Sebenarnya, bukan mudah nak goreng ikan keli ini, Kalau tak reti memang meletup-letup dalam kualilah jawabnya. Ini disebabkan lendir yang masih melekat pada ikan keli tersebut.

Bagi yang belum tahu, Sinar Plus kongsikan beberapa cara untuk menghilangkan lendir dan juga bau hanyir pada ikan keli ini. Barulah mudah nak menggorengnya nanti.

1. Perap dengan tepung

Salah satu cara hilangkan lendir ikan keli dengan mudah adalah dengan menggunakan tepung. Kata orang tua-tua, guna tepung beras lebih elok. Tapi kalau tak ada, guna tepung gandum pun boleh.

Caranya, taburkan tepung pada ikan keli dan biarkan ia diperap selama beberapa lebih kurang 15-30 minit. Kemudian, barulah basuh ikan tersebut dan kemudian goreng seperti biasa.

2. Garam + limau kasturi

Biasanya di setiap rumah memang ada garam kasar kan? Cuma gosok dengan garam kasar tanpa air. Lendir akan mudah tertanggal apabila dicuci.

Kalau masih berlendir juga, toskannya dan masukkan lebih 3 sudu besar garam bersama beberapa biji perahan limau kasturi untuk diratakan ke seluruh badan ikan. Perap atau rendamkan selama 15 minit sebelum dibilas. Gunakan limau untuk menggosok badan ikan keli dengan bersih.

3. Cuka

Hilangkan lendir ikan keli dengan mencampurkan cuka dengan sedikit air. Basuh ikan keli dengan meratakan campuran cuka tersebut pada ikan.

4. Asam jawa

Ambil segenggam asam jawa dan lumurkan pada ikan. Perap seketika sebelum dibasuh bersih.

Iklan

5. Daun serai

Ambil daun serai dan potong pendek-pendek. Ramaskan daun serai dan gaulkan pada ikan. Lebih elok rendamkan sekejap. Kemudian barulah bilas seperti biasa.

Daun serai mempunyai tekstur kasar serta aroma yang wangi dan mampu menghilangkan lendir ikan keli dengan berkesan.

6. Sejuk beku

Boleh simpankan ikan keli dalam peti ais bahagian sejuk beku tanpa dicuci. Malam atau keesokannya apabila ia dikeluarkan, lendir-lendirnya akan menjadi ais dan mudah untuk dicuci.

Iklan

7. Air basuhan beras

Ada juga yang mencadangkan supaya guna air basuhan beras. Kalau nak basuh beras, simpan air basuhan itu dan gunakan untuk mencuci ikan keli. Katanya, memang lebih senang tertanggal lendir-lendir pada ikan. Bau hanyir pun hilang.

Jika anda selalu menggoreng ikan keli, anda boleh guna cara ini. Diharapkan semoga perkongsian cara menghilangkan lendir dan hanyir pada ikan keli ini bermanfaat untuk dicuba di dapur anda.

PENULIS: NURUL ADRIANA
FOTO: ms.wikipedia.org