UNTUK makluman, terdapat 20 bank yang menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman selama 6 bulan akibat penularan wabak Covid-19.

Kini tempoh penangguhan bayaran akan tamat hujung bulan ini dan pelanggan akan mula membayar balik pinjaman bank untuk bulan berikutnya seperti kebiasaan.

Namun, bank juga kini bersetuju untuk mewujudkan satu sistem yang dikenali sebagai Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar yang lebih berfokus khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan iaitu:

Pertama, bagi individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, anda akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh tiga bulan.

Selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing; dan

Kedua, bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat Covid-19, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman.

Jadi, bagaimana cara untuk memohon? Jom SinarPlus kongsikan.

BANK MAYBANK

Maybank menyediakan tiga pilihan mudah untuk pelanggan memohon Pakej Bantuan Pembayaran Balik pinjaman mulai hari ini, dengan berakhirnya tempoh moratorium selama enam bulan pada 30 September ini.

Pelanggan boleh memohon secara dalam talian melalui Maybank2u (untuk pelanggan individu tidak termasuk sewa beli); melalui emel kepada weassist@maybank.com (untuk pelanggan individu) atau SMErelief@maybank.com (untuk pelanggan PKS).

Pelanggan juga boleh mengunjungi atau menghubungi mana-mana cawangan, Pusat PKS atau Pusat Pembiayaan Auto seluruh negara.

Pakej Bantuan Pembayaran Balik akan disesuaikan mengikut keperluan pelanggan dan menangani cabaran yang mereka hadapi sama ada kehilangan pekerjaan, pengurangan gaji atau gangguan dalam operasi perniagaan.

Ini mungkin termasuk pelanjutan moratorium untuk mereka yang kehilangan pekerjaan pada 2020, penjadualan semula untuk melanjutkan tempoh kemudahan pinjaman/pembiayaan atau menyusun semula pinjaman/pembiayaan kepada struktur yang lebih sesuai dengan kemampuan pembayaran mereka.

Memandangkan tarikh akhir permohonan ialah pada 30 September, bank menyarankan agar pelanggan mula memohon seawal mungkin supaya pengaturan pembayaran balik boleh diluluskan dan dilaksanakan sebelum berakhirnya moratorium.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari www.maybank2u.com.my/covid19 atau menghubungi talian hotline Pelanggan Maybank di 1-300 88 6688, dan tekan *1 untuk “Bantuan Pembayaran Balik”.

BANK CIMB

CIMB akan mempermudah dan mempercepatkan proses permohonan lanjutan moratorium dan bantuan bersasar kepada pelanggannya yang terkesan.

Satu SMS akan dihantar kepada lebih 300,000 individu dan 10,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bermula hari ini dan mereka dinasihatkan untuk mengikuti arahan mudah serta melengkapkan permohonan sebelum 20 Ogos ini.

Pelanggan yang tidak menerima SMS daripada kami, tetapi merasakan berdepan kesukaran untuk meneruskan pembayaran selepas 30 September ini adalah digalakkan untuk berhubung dengan pihak bank dari 7 Ogos ini hingga 7 September depan sama ada menerusi telefon di +603 6204 7788, emel di covidcare@cimb.com atau kunjungi mana-mana cawangan CIMB.

Pelanggan juga dijamin kelulusan secara automatik, dengan syarat bukti dokumen yang diberikan adalah memuaskan mengesahkan keadaan mereka.

Bantuan lanjutan moratorium ini tidak akan memberi kesan terhadap status laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mereka selagi peminjam terus membuat pembayaran pinjaman atau pembiayaan dengan segera berdasarkan jadual pembayaran disemak semula yang telah dipersetujui

Bank itu berkata, kepada mereka yang tidak terjejas, CIMB amat menggalakkan mereka supaya meneruskan pembayaran pinjaman atau pembiayaan mereka bermula Oktober ini.

Semua pelanggan sama ada yang terkesan atau tidak akan dimaklumkan menerusi surat daripada bank, memberitahu mereka langkah seterusnya

PUBLIC BANK

Public Bank bersedia memberi bantuan pembayaran balik pinjaman kepada pelanggannya yang terus berdepan masalah untuk membayar balik pinjaman apabila tamatnya tempoh moratorium pinjaman selama enam bulan pada 30 September ini.

Public Bank telah merangka program bantuan pembayaran balik pinjaman untuk membantu pelanggan individunya yang kehilangan kerja atau dipotong gaji, dan pelanggan PKS yang berdepan masalah aliran tunai berikutan pandemik Covid-19.

Bantuan pembayaran balik itu terdiri daripada pelbagai pakej pembayaran balik yang bersesuaian dengan keadaan kewangan pelanggannya.

Malah, bank itu juga mewujudkan platform digital untuk membolehkan pelanggan yang layak menghantar permohonan bagi penjadualan semula pelan pembayaran balik mereka secara dalam talian.

Platform digital itu membolehkan proses permohonan dan kelulusan yang mudah, cekap dan berkesan untuk para pelanggan.

Pelanggan Public Bank dinasihatkan agar mengemukakan permohonan dalam talian menggunakan platform digital bank melalui laman web Public Bank mulai 7 Ogos 2020.

Untuk pelanggan individu yang kehilangan kerja pada 2020 dan yang kini tidak bekerja, Public Bank akan menawarkan lanjutan tempoh moratorium pinjaman selama tiga bulan bermula pada 1 Oktober 2020. Pelanggan-pelanggan ini yang ingin memohon lanjutan moratorium ini boleh menghubungi Public Bank dan mengemukakan permohonan menggunakan dokumen berkaitan

Pelanggan yang berhasrat untuk memohon bantuan pembayaran balik pinjaman dan pembiayaan mereka diminta mengunjungi mana-mana cawangan Public Bank, atau melayari laman web https://apply.pbebank.com/pbrnr untuk maklumat lanjut. Pelanggan juga boleh menghantar e-mel kepada customerservice@publicbank.com.my untuk nasihat dan bantuan.

BANK RAKYAT

Apakah kriteria pelanggan yang layak menikmati lanjutan moratorium 3 bulan selepas tempoh moratorium tamat pada 30 September 2020?

Pelanggan yang layak adalah seperti berikut:

Pelanggan yang telah diberhentikan kerja dalam tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu.

Pelanggan yang masih dalam tempoh bercuti tanpa gaji dan berlanjutan sehingga Disember 2020.
Apakah bantuan bersasar yang ditawarkan oleh Bank kepada pelanggan yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan gaji?

Bank menawarkan pengurangan ansuran selaras dengan kadar pengurangan gaji untuk tempoh minimum selama enam bulan.

Apakah bantuan bersasar yang ditawarkan oleh Bank kepada pelanggan individu lain yang bekerja sendiri dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas dengan pandemik COVID-19?

Iklan

Bank menawarkan fleksibiliti atas bayaran ansuran pelanggan seperti berikut:

Membayar keuntungan sahaja untuk satu jangka masa yang ditetapkan; atau
Memanjangkan tempoh keseluruhan pembiayaan bagi mengurangkan ansuran bulanan.
*Tertakluk pada terma dan syarat

Layari laman web korporat di www.bankrakyat.com.my untuk maklumat lanjut.

Apakah bantuan bersasar yang ditawarkan kepada pelanggan yang mempunyai kemudahan sewa beli kenderaan?

Pelanggan yang mempunyai kemudahan sewa beli ditawarkan pilihan penjadualan ansuran yang bersesuaian tertakluk kepada Akta Sewa Beli.

Contohnya, memanjangkan tempoh bayaran ansuran pada kadar ansuran bulanan yang lebih rendah.

Pelanggan boleh menghubungi Bank melalui saluran komunikasi rasmi seperti berikut:

E-mel ke bankrakyatrnr@bankrakyat.com.my.
(Sila sertakan nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit untuk dihubungi)

Pusat Panggilan di talian 1300800800.

Apakah dokumen yang perlu disediakan oleh pelanggan untuk memohon Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bersasar ini?

Pelanggan perlu mengemukakan dokumen sokongan berkaitan pekerjaaan atau perniagaan terjejas seperti berikut (yang mana berkenaan):

i. Surat penamatan/pemberhentian kerja.

Iklan

ii. Surat cuti tanpa gaji

iii. Surat pemotongan gaji dan salinan penyata gaji sebelum dan selepas pemotongan.

iv. Penyata bank selama 6 bulan terkini sebagai sokongan permohonan.

Bilakah tarikh mula permohonan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bersasar ini?

Pelanggan boleh memohon Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bersasar ini bermula 7 Ogos 2020

BANK ISLAM

Para pelanggan boleh mengunjungi rangkaian cawangan bank itu di seluruh negara bermula 7 Ogos untuk membincangkan penyelesaian yang paling sesuai mengikut keadaan kewangan mereka dan melengkapkan borang permohonan untuk menikmati kemudahan tersebut.

Bank Islam telahpun mula menghubungi semua pelanggan melalui khidmat pesanan ringkas dan mengemas kini maklumat secara berkala di pelbagai platform komunikasi.

Di bawah bantuan pembayaran semula bersasar itu, Bank Islam menawarkan lanjutan moratorium selama tiga bulan dari penghujung tempoh berakhirnya moratorium sedia ada kepada individu yang kehilangan pekerjaan pada 2020 dan kini tidak bekerja.

Individu yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan yang signifikan akibat waktu bekerja yang dikurangkan, pemotongan gaji dan sebagainya akan ditawarkan pengurangan ansuran bulanan bersesuaian dengan pengurangan gaji, tertakluk kepada jenis pembiayaan.

Mereka juga akan ditawarkan fleksibiliti pembayaran selama enam bulan dari penghujung tempoh berakhirnya moratorium sedia ada.

Semoga bermanfaat!