Casio jalin kerjasama dengan FAM, perkenal jam edisi terhad Harimau Malaya

Casio jalin kerjasama dengan FAM, perkenal jam edisi terhad Harimau Malaya
March 31, 2021
Oleh Meen

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan telah menjalinkan kerjasama bersama syarikat multinasional Jepun, Casio bermula 1 Mac sehingga 28 Februari 2022.

Perjanjian penajaan itu telah ditandatangani di antara Pengedar Rasmi Casio Malaysia, Pengarah Eksekutif Marco Corporation, Encik Ong Sim Jeng dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

Selain itu, sebagai tanda sokongan kepada skuad Harimau Malaya yang bakal kembali beraksi selepas setahun berehat akibat pandemik Covid-19 pada baki tiga perlawanan Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jun ini, Casio juga telah melancarkan jam tangan edisi terhad G-SHOCK Harimau Malaya hari ini, di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Majlis menandatangani perjanjian serta pelancaran jam tangan edisi terhad itu juga dihadiri oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin; Pengarah Urusan Casio Malaysia, Encik Tezuka Itsuro dan turut menampilkan dua pemain daripada skuad kebangsaan iaitu Shahrel Fikri Md Fauzi dan Irfan Zakaria serta penampilan istimewa Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Tajaan FAM, Datuk Hisamudin Yahaya berkata, tajaan daripada syarikat elektronik gergasi Jepun menerusi pengedar rasminya itu adalah tanda bola sepak negara telah mula mendapat perhatian syarikat-syarikat swasta di dalam Malaysia.

Casio jalin kerjasama dengan FAM, perkenal jam edisi terhad Harimau Malaya

“Keadaan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak Mac 2020 tidak menghalang syarikat-syarikat swasta ini untuk tampil menzahirkan sokongan mereka terhadap skuad bola sepak kebangsaan.

“Menerusi kerjasama ini, saya pasti ia akan menjadi motivasi untuk pemain-pemain skuad Harimau Malaya memulakan kembali kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang tertangguh akibat pandemik,” kata Datuk Hisamudin.

Jelasnya lagi, sokongan daripada syarikat-syarikat korporat ini adalah sebahagian daripada usaha Datuk Haji Hamidin selaku Presiden FAM yang sentiasa berusaha meningkatkan kualiti serta nilai komersial badan induk bola sepak negara itu.

Iklan

Sebagai simbolik pelancaran jam tangan Casio G-SHOCK edisi terhad ini, Datuk Haji Hamidin telah menjadi individu pertama yang menerima jam tangan G-SHOCK edisi Harimau Malaya dengan nombor siri 001 daripada Encik Tezuka Itsuro.

Casio jalin kerjasama dengan FAM, perkenal jam edisi terhad Harimau Malaya

Jam tangan edisi Harimau Malaya ini menggunakan model asas G-SHOCK GA-2000-1A9, yang didatangi dengan warna tradisi Harimau Malaya iaitu hitam dan kuning serta memiliki ukiran logo Harimau Malaya sekali gus menyerlahkan lagi gaya eksklusif dan unggul.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sivasundaram Sithamparam Pillai bersama barisan Ahli Jawantankuasa Eksekutif FAM.

Iklan

Sementara itu, Encik Tezuka turut berkongsi rasa berbesar hati dengan kesudian pihak FAM untuk menjalinkan kerjasama bersama syarikat multinasional Jepun itu.

Casio jalin kerjasama dengan FAM, perkenal jam edisi terhad Harimau Malaya

“Reka bentuk G-SHOCK memang sudah terkenal dengan rekaan yang mengikuti trend semasa sekali gus menepati citarasa remaja pada hari ini dan saya pasti jam tangan edisi terhad ini akan mendapat tempat di dalam kalangan penyokong bola sepak Malaysia.

“Kerjasama pertama antara Casio, Marco dan FAM ini ternyata mencerminkan tahap kualiti yang dikejar oleh pihak FAM dan harapan saya agar skuad kebangsaan Malaysia sentiasa mengorak langkah ke arah kecemerlangan lebih-lebih lagi pada kempen Kelayakan Piala Dunia nanti,” ujar Tezuka.

Tambahnya, Casio sentiasa menyokong pembangunan pelbagai sukan menerusi jenama G-SHOCK.  Sebagai penjaga masa rasmi untuk Piala AFF Suzuki 2020, beberapa kempen pemasaran akan dijalankan oleh pihak Casio sebagai usaha untuk mempromosikan bola sepak di rantau ASEAN.

Casio jalin kerjasama dengan FAM, perkenal jam edisi terhad Harimau Malaya

Dengan hanya 999 jam tangan G-SHOCK Harimau Malaya yang akan dikeluarkan di pasaran, setiap jam tangan berkenaan akan diukir dengan dengan nombor siri bermula 002 sehingga 999.

Jam tangan edisi terhad Casio G-SHOCK Harimau Malaya ini boleh didapati bermula 1 Jun pada harga RM579.00 dan akan didatangi bersama sehelai t-shirt edisi terhad, gelang tangan dan beg kertas di G-Factory, outlet G-SHOCK dan outlet pengedar rasmi Casio di seluruh negara serta kedai atas talian rasmi Casio.

About Meen

Biodata Penulis