SETELAH hampir tiga bulan negara ‘berperang’ melawan musuh tak terlihat dengan melaksanakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Malaysia kini dilihat semakin menghampiri situasi bebas Covid-19.

Teori tersebut logiknya dilihat apabila kes positif yang dilaporkan dari sehari ke sehari terus menunjukkan penurunan, sekali gus membolehkan kerajaan mengumumkan pembukaan beberapa sektor ekonomi lagi untuk dimanfaatkan segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Menuju kira-kira enam hari sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijadual berakhir, negara terus mencatatkan hanya satu digit kes Covid-19 untuk tiga hari berturut-turut.

Ini merupakan satu gambaran petanda yang sangat positif dan memberi petanda penularan wabak itu dapat dikawal pihak berkuasa. Syabas frontliner! Terima kasih!

Seperti yang dilaporkan oleh portal-portal akhbar tempatan, sehingga Selasa lalu, hanya lima dari 20 kes baharu membabitkan penularan tempatan dalam kalangan warganegara, selain pada Isnin (enam dari 38) dan Ahad (empat dari 57).

Selain itu, rakyat Malaysia juga mungkin boleh berbangga kerana tiada kes kematian dicatatkan pada Selasa, untuk 11 hari berturut-turut.

Perkara itu seolah-olah memberi petanda bahawa Malaysia kini berada dalam landasan yanng betul dan tepat ke arah fasa pemulihan terakhir.

SinarPlus juga percaya kejayaan itu dicapai susulan kejayaan pelaksanaan PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu oleh pihak kerajaan.

Walaupun pada mulanya orang ramai dilihat tidak begitu selesa dengan pelaksanaan PKP yang mana mereka dipaksa untuk ‘berkurung’ dan duduk diam di rumah, kini norma baharu tersebut dilihat sudah tidak asing dalam kalangan masyarakat kita.

Prinsipnya mudah, jika semua pihak berkerjasama dan memainkan peranan masing-masing, percayalah kemenangan pasti milik kita!

Perkara ini jika diimbas kembali, pernah didedahkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu wawancara pada 30 Mei yang antara lain menyebut kebolehjangkitan Covid-19 semakin hari semakin berkurang dan jika ini berterusan, ia akan membantu mengakhiri sesuatu wabak.

Petanda baik ini membolehkan kerajaan mengumumkan bahawa pasangan berbeza negeri yang ingin melangsungkan pernikahan dibenarkan rentas negeri bagi tujuan akad nikah sepanjang tempoh PKPB.

Berita baik tersebut telah diumumkan pada Selasa lalu. Terima Kasih kerajaan!

Iklan

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula berkata, bagaimanapun majlis itu perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan, selain memutuskan untuk membenarkan jurufoto perkahwinan membuat penggambaran praperkahwinan di tempat terbuka, juga mengikut SOP ditetapkan.

Tambahan lagi, turut dibenarkan adalah aktiviti penggambaran filem, drama dan iklan mulai 10 Jun ini.

Kerajaan juga kini membenarkan baki lebih 6,000 taman asuhan kanak-kanak (taska) beroperasi kembali dan boleh merujuk SOP disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

SinarPlus juga percaya orang ramai pasti tidak sabar menunggu dan menantikan perkhabaran gembira Sabtu ini apabila satu mesyuarat khas dijadualkan berlangsung bagi membincangkan beberapa lagi SOP yang akan dimaklumkan.

Iklan

Antara perkara tersebut yang akan dibincangkan adalah berkaitan aktiviti jualan pasar malam, aktiviti keagamaan di rumah ibadat dan perkhidmatan kedai gunting rambut.

Sama-sama kita nantikan berita gembira tersebut.

Tahniah Malaysia!

#GENG LUAR KOTAK