SEHINGGA semalam (19 Disember), terdapat sebanyak 440 kluster telah dilaporkan termasuk lima kluster baharu pada hari ini.

Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 241 kluster termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Softwood LD di Sabah, Kluster Besi Demak di Sarawak dan Kluster Rajawali di Pulau Pinang.

Angka tersebut menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 199 kluster.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 41 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Jalan Stadium (167 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (96 kes) dan Kluster Tembok (80 kes).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memaklumkan terdapat lima kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu:

1. Kluster Tapak Bina Jalan Zuhrah

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Petaling di negeri Selangor.

Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 14 Disember melalui saringan tempat kerja di sebuah tapak binaan.

Sehingga 19 Disember, sejumlah 450 individu telah disaring, yang mana 49 kes telah dikesan positif.

2. Kluster Keris Residence

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Tuaran di Sabah.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-80664) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 12 Disember melalui saringan individu bergejala.

Sehingga 19 Disember, sejumlah 65 individu telah disaring dan hasil saringan, 41 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

3. Kluster Jalan Timah

Kluster ini melibatkan daerah Johor Bahru dan Kulai di Johor yang juga merupakan kluster tempat kerja.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-90535) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 18 Disember melalui ujian saringan individu bergejala.

Sehingga semalam, sejumlah 238 individu telah disaring dan 26 kes telah dikesan positif.

Iklan

4. Kluster Brumas

Kluster ini melibatkan daerah Kalabakan di negeri Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-74561) telah dilaporkan positif pada 8 Disember hasil saringan kendiri.

Sejumlah 89 individu telah disaring dan 16 kes telah dikesan positif.

5. Kluster Long Panji

Kluster ini melibatkan daerah Kota Bharu dan Machang di negeri Kelantan. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-86605) yang telah direkodkan sejak 15 Disember lepas melalui saringan individu bergejala.

Sehingga 19 Disember, seramai 202 individu telah disaring yang mana 11 kes telah dikesan positif Covid-19.

Iklan

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).

Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn)

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu. KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO.

KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.