STATISTIK Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa merokok adalah  faktor risiko utama bagi penyakit bahaya dan menyebabkan 10 hingga 12 peratus kematian di Malaysia. Malangnya hampir 50 peratus golongan lelaki di Malaysia adalah perokok tegar!

Sementara itu, penelitian dan analisa awal KKM berkaitan jumlah kes kematian disebabkan Covid-19 adalah lebih tinggi dalam kalangan perokok berbanding bukan perokok.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula berkata, sejarah merokok dan faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang dijalankan ke atas 86 daripada jumlah pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di Malaysia, didapati 19.8 peratus atau 17 orang adalah terdiri daripada golongan perokok.

“Analisa juga mendapati bagi kes kematian Covid-19 yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik tetapi merokok, jumlah kematiannya lebih tinggi berbanding kes kematian Covid-19 yang bukan perokok (17.6 peratus berbanding 12.1 peratus).

“Merokok merosakkan fungsi paru-paru, justeru menjadikan badan kita lebih sukar untuk melawan Covid-19 dan penyakit lain,” katanya.

Terbaharu, tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 yang dilancarkan pada 29 Mei lalu mendapati 21.3 peratus rakyat Malaysia dianggarkan merokok, maka mereka lebih terdedah kepada risiko komplikasi jangkitan Covid-19 yang teruk.

Iklan

Jadi, SinarPlus percaya ini adalah masa terbaik untuk anda berubah dengan berhenti merokak dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Iklan

Oleh itu, anda seharusnya;

  • Berhenti merokok kerana merokok adalah faktor risiko utama bagi penyakit bahaya terutama penyakit jantung.
  • Jauhkan diri daripada asap rokok basi.
  • Elakkan diri daripada perokok
  • Elakkan pergi ke tempat-tempat yang boleh mendedahkan anda kepada asap rokok basi
  • Amalkan cara hidup sihat.
  • Lakukan aktiviti fizikal seperti bersukan.
  • Sentiasa berfikiran positif.