SEPERTI diketahui umum, berita penemuan Vaksin buatan Pfizer dan BioNTech yang didapati menunjukkan 90 peratus keberkesanan dalam mengelak jangkitan Covid-19 telah tersebar meluas dan diketahui dunia.

Dalam pada itu, penemuan interim vaksin terbaharu Covid-19 oleh firma bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Moderna Inc semalam (Isnin) pula merupakan satu pengumuman yang amat memberangsangkan.

Memetik laporan portal media tempatan, Pakar Perunding Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr Zamberi Sekawi berkata, pengurusan logistik melibatkan vaksin tersebut amat mudah.

Ujarnya, penyimpanan vaksin Moderna atau mRNA-1273 itu tidak memerlukan suhu yang terlampau sejuk berbanding vaksin yang diumumkan oleh Pfizer dan BioNTech sebelum ini.

“Adalah penting untuk ada mekanisme rantaian sejuk dari kilang sehingga ke tempat ia diterbangkan, seperti di lapangan terbang dan seterusnya di fasiliti vaksin.

“Kita kena pastikan bahawa rantaian itu tidak terjejas, perlu sentiasa sejuk dalam keadaan yang dipastikan.

“Vaksin Moderna ini adalah berita baik sebenarnya kerana suhu yang diperlukan adalah tidak terlalu sejuk jika dibandingkan vaksin yang diumumkan kali pertama pada minggu lepas yang memerlukan keadaan yang ultra sejuk,” katanya.

Pfizer dan BioNTech sebelum ini memaklumkan suhu simpanan bagi vaksin itu adalah serendah negatif 70 darjah Celsius dan ke bawah, sekali gus menimbulkan isu berkait kapasiti simpanan vaksin berkenaan.

Memetik laporan agensi berita Reuters pada Isnin, Moderna menjangkakan bahawa vaksin mRNA-1273 itu akan stabil pada suhu peti sejuk standard iaitu dua hingga lapan darjah Celsius untuk 30 hari dan ia boleh disimpan sehingga enam bulan pada suhu negatif 20 darjah Celsius.

Iklan

Data daripada ujian klinikal Moderna yang disertai 30,000 menunjukkan vaksinnya berjaya mencegah kes Covid-19 yang teruk.

Daripada 95 kes ujian percubaan Moderna, 11 merupakan kes teruk dan kesemua 11 kes itu adalah dalam kalangan sukarelawan yang mendapat suntikan plasebo.

Iklan

Selain itu, Moderna menjangkakan akan menghasilkan sebanyak 20 juta dos vaksin untuk AS pada tahun ini, yang mana jutaan dos telah dihasilkan dan siap untuk diedarkan selepas mendapat kebenaran Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS.

Sumber rujukan : astroawani