Covid-19: Waspada kes jangkitan SARI yang sangat luar biasa
"JANGAN lupa macam mana Covid-19 mula dikesan di Wuhan, ia melalui SARI. Ada banyak kes SARI yang ketara lain dari biasa membuatkan mereka mula siasat dan menjumpai koronavirus yang baru ini,".
Itulah ungkapan pertama yang dikongsikan oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Safiya Amaran ketika bertanya mengenai status kes SARI di Malaysia.
"Di Kedah ada kes SARI.
"Di Perlis ada kes SARI.
"Di Penang ada kes SARI.
"Kematian pertama di Kedah sejak gelombang baru ni pun kes SARI,".
Apa yang merisaukan pasal kes SARI?
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, definisi Severe Acute Respiratory Infection (SARI) ialah jangkitan sistem pernafasan yang akut yang mempunyai beberapa ciri seperti berikut:
1. Sejarah demam atau demam melebihi 38 darjah Celsius
2. Batuk (yang mana ia baru sahaja berlaku, dalam masa 10 hari yang lepas)
3. Memerlukan rawatan di dalam hospital (perlu masuk hospital)
"Kena cukup semua kriteria ini baru boleh dilabel sebagai kes SARI," kata Dr Safiya.
Apa beza SARI dengan kes yang dikesan melalui proses contact tracing atau di pintu masuk antarabangsa?
Kata Dr Safiya, kes dari luar negara biasanya masuk Malaysia dalam keadaan sihat. Saringan di pintu masuk antarabangsa membezakan antara kes positif atau negatif, jadi walaupun positif, biasanya individu dalam keadaan sihat pada waktu itu.
Artikel berkaitan: Covid-19: Hanya premis makanan, kedai runcit, stesen minyak, farmasi, klinik dan hospital boleh dibuka
"Jadi walaupun positif, individu berkenaan stabil dan boleh dikatakan kemungkinan jangkitan dikesan awal jadi kebarangkalian sembuh dengan baik adalah tinggi.
"Begitu juga kes yang dikesan melalui contact tracing. Individu dapat dikesan awal, biasanya dalam keadaan tidak bergejala atau bergejala ringan sahaja. Jadi individu-individu tersebut juga ada kebarangkalian yang tinggi untuk sembuh dengan sempurna kecuali mereka mempunyai risiko seperti umur yang sudah tua dan ada sakit-sakit kronik," jelasnya.
Namun demikian, ketahuilah kes SARI ini sangatlah bebeza! Apa bezanya?
"Kes SARI ini maknanya mereka sudah sakit untuk seketika waktu dan bila sampai di hospital sudah dalam keadaan yang agak teruk.
"Jadi rawatan yang boleh diberikan hanya bermula saat masuk wad. Dalam erti kata lain, mereka dapat dirawat apabila keadaan sudah teruk. Jadi risiko kematian bagi golongan ini lebih tinggi," katanya lagi.
Kenapa mereka jadi SARI?
"Mudah sahaja, ia adalah kerana jangkitan berlaku tanpa sedar.
"Mereka tidak aware sudah terdedah dengan koronavirus ini bila dan di mana. Tak sedar pun masa demam tu ia mungkin jangkitan koronavirus," tambah beliau.
Masakan tidak, apabila sakit mungkin pada awal gejala ringan itu sama sekali tidak terfikir ia Covid-19 kerana tiada kontak rapat dengan pesakit Covid-19.
"Jadi pergi ke hospital untuk dapat rawatan apabila gejala dah semakin teruk. Pada masa itu juga biasanya ramai ahli keluarga serumah pun sudah terdedah beberapa hari kepada virus berkenaan."Jadi sebab itulah biasanya kontak kepada kes SARI berisiko lebih tinggi untuk sudah dijangkiti semasa ahli keluarga lain sudah dimasukkan ke wad," beritahu beliau.
Satu lagi, apabila lebih banyak kes SARI direkodkan, bermakna jangkitan tempatan telah berlaku dengan lebih banyak tanpa di sedari.
Jadi, bagi semua di wilayah Utara, kena lebih hati-hati dengan mengambil berat beberapa saranan di bawah:
1. Sentiasa guna pelitup muka yang bersih.
2. Kendalikan pelitup muka itu dengan cara betul.
3. Cuci tangan sebelum dan selepas guna pelitup muka.
4. Buang pelitup muka ke dalam tong sampah
5. Elakkan letak pelitup muka merata-rata
6. Sentiasa anggap pelitup muka yang sudah digunakan itu mungkin terdapatnya kuman, jadi jangan ulang guna berhari-hari kecuali sudah dibasuh (jenis kain).
Pesan Dr Safiya, mudah sahaja untuk mengelak jangkitan Covid-19 ini jika kita mengikut semua normal baru yang selalu disebut-sebut sekarang. Tepuk dada tanyalah diri kita...
Terbaharu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pentadbiran yang akan berkuat kuasa di 28 mukim daerah Kota Setar membabitkan seramai 366,787 penduduk secara keseluruhan bermula tengah malam semalam.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang