Covid-19: Hanya premis makanan, kedai runcit, stesen minyak, farmasi, klinik dan hospital boleh dibuka

A
A
A

SETELAH mengambil kira peningkatan kes positif koronavirus (Covid-19) di daerah Kota Setar, Kedah dan Penjara Tawau, Sabah, kerajaan telah mewartakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran ke atas di kedua-dua lokasi berkenaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD ini akan dikuatkuasakan mulai 11 September pukul 12.01 tengah malam hingga 25 September 2020 sebagai sebahagian dari langkah pencegahan penularan COVID-19.

Menurut beliau, semua aktiviti keluar atau masuk ke daerah berkenaan adalah dilarang bagi tempoh berkenaan.

"Pelaksanaan PKPD secara pentadbiran di Kota Setar ini melibatkan 366,787 penduduk di 28 mukim di daerah Kota Setar.

"Segala aktiviti keluar masuk daerah adalah dilarang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjalankan sekatan jalan raya dan kawalan di jalan keluar masuk daerah," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.

Mengulas lanjut, Ismail memberitahu, keluar masuk sempadan negara melalui Bukit Kayu Hitam juga dihentikan sehingga tamat PKPD.

Covid-19: Hanya premis makanan, kedai runcit, stesen minyak, farmasi, klinik dan hospital boleh dibuka Daerah Kota Setar, Kedah

Beliau memberitahu, individu yang keluar masuk atas alasan bekerja juga adalah tidak dibenarkan dari kawasan PKPD itu.

"Oleh itu saya berharap majikan perlu mengambil maklum perintah ini. Ini bukan atas kehendak pekerja mereka tetapi atas perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan yang menyebabkan mereka tidak bekerja.

"Justeru saya harap tidak ada tindakan diambil ke atas pekerja-pekerja yang tidak bekerja, kalau boleh kita galakkan majikan untuk meminta pekerja mereka membuat kerja dari rumah," jelasnya.

Artikel berkaitan: Kluster Sungai Kedah dan Perlis – 14 lokasi di Langkawi telah dilawati individu positif Covid-19, hati-hati!

Ismail menambah, semua rumah beribadat termasuk masjid diarah tutup pada tempoh tersebut.

Katanya, semua intitusi pendidikan termasuk taska, sekolah dan institusi pengajian tinggi juga ditangguh ketika pelaksanaan PKPD itu.

Seperti sebelum ini jelasnya, hanya premis yang menyediakan perkhidmatan perlu seperti kedai makanan, runcit, warung, stesen minyak dan farmasi sahaja dibenarkan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam.

"Sementara hospital dan klinik dibenarkan beroperasi selama 24 jam," jelasnya.

Sementara PKPD secara pentadbiran di Penjara Tawau, Sabah pula katanya, melibatkan banduan, anggota dan ahli keluarga Jabatan Penjara Tawau.

"Jadi lawatan tidak dibenarkan. Perintah keluar masuk juga dikenakan di kawasan penjara ini.

"Saya ingin menjelaskan penduduk di Lahad Datu dan Tawau tidak perlu gusar ekoran peningkatan kes kerana mereka adalah terkurung dalam kawasan penjara. Peluang untuk kes untuk disebarkan adalah tipis," jelasnya.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca