DINOSAUR World yang menempatkan pelbagai replika robotik dinosaur gergasi bakal menjadi tarikan terbaharu pelawat ke Zoo Melaka, apabila ia siap dibina November depan.

Memetik laporan portal media tempatan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Shadan Othman berkata, projek yang sedang dibangunkan di kawasan seluas 1.62 hektar di dalam zoo tersebut merupakan kerjasama pelaburan dengan sebuah syarikat swasta.

“Dinosaur World ini adalah yang terbesar di Asia Tenggara dan sekarang ia dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada November depan.

“Kita ingin menjadikan Zoo Melaka sebagai pusat pembelajaran dan pengunjung khususnya anak-anak. Mereka bukan sahaja boleh mengenali dinosaur atau haiwan yang ada di sini, tetapi juga boleh belajar mengenai habitat dan sifat haiwan tersebut,” katanya selepas Program Treasure Hunt Sempena Hari Malaysia di Zoo Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, selain bertujuan sebagai pelancongan pendidikan, Dinosaur World itu juga boleh dijadikan lokasi penggambaran filem atau drama.

Katanya, meskipun negara masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kedatangan pengunjung ke zoo kedua terbesar negara itu masih mencatatkan peningkatan sejak dibuka Jun lepas.

“Pada Ogos sahaja, kedatangan pengunjung pada setiap hujung minggu (Jumaat, Sabtu dan Ahad) merekodkan jumlah melebihi 10,000 orang,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini, jumlah kedatangan pelawat ke Zoo Melaka ialah kira-kira 60,000 orang dalam tempoh dua bulan sejak 10 Jun hingga Ogos lepas.

Selain Dinosour World, Zoo Melaka juga merancang mengadakan pertunjukkan burung bertaraf antarabangsa yang melibatkan pelbagai pertunjukan dan aksi menarik pelbagai spesies burung dari pelbagai negara, November depan.

Iklan

“Zoo Melaka juga akan mempunyai tiga Orang Utan yang didatangkan khas dari Bukit Merah Lake Town Resort dan A’Famosa Safari Wonderland pada November ini,” katanya.

Zoo Melaka berkeluasan kira-kira 20 hektar yang ditubuhkan pada 1963 itu menempatkan kira-kira 650 haiwan daripada 150 spesies berlainan dari seluruh dunia turut berperanan sebagai pusat pemuliharaan, penyelidikan dan pendidikan haiwan.

Iklan

Sementara itu, program Treasure Hunt itu merupakan anjuran MPHTJ dengan kerjasama Shell R.A Talang bagi menyemarakkan semangat kenegaraan sempena sambutan Hari Malaysia dan ia disertai 141 kumpulan dengan jumlah penyertaan 423 orang.

Jom kita ke Zoo Melaka.