ADA dalam kalangan kita yang dapat ‘surat cinta’ dari dua pihak ini tapi belum lagi menyelesaikan saman yang tertunggak kerana masih berkira-kira dan sedang ‘kumpul modal’?

Golongan ini barangkali boleh menarik sedikit nafas lega apabila diskaun 70 peratus ditawarkan bagi pembayaran saman yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bermula 1 lalu hingga 31 Ogos ini.

Berita agak bermakna dalam keadaan yang agak ‘tegang’ dek ramai yang terjejas sejak Covid-19 melanda negara beberapa bulan lalu ini diumumkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menurutnya, tawaran diberikan sempena bulan kemerdekaan itu adalah bagi saman yang dikeluarkan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah dibawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

Iklan

“Sebanyak 70 peratus pengurangan ditawarkan berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem JPJ dan yang telah ditetapkan bagi kes-kes di bawah akta yang tersebut,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, pengurangan saman itu dilaksanakan di semua pejabat JPJ. Ia termasuklah di negeri, cawangan dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) serta saluran pembayaran lain JPJ seperti portal mySIKAP JPJ, kiosk JPJ dan JPJ Mobile.

Iklan

Bagi kesalahan yang telah disenarai hitam, orang ramai dikehendaki hadir ke pejabat JPJ cawangan atau negeri bagi proses dokumentasi sebelum urusan pembayaran dilakukan.