PERASAN tak sejak kebelakangan ini cuaca agak panas daripada kebiasaan. Benarkah cuaca kita sudah banyak berubah? Ramai dalam kalangan kita mengadu cuaca sudah semakin panas.

Mana tidaknya kini jam sekitar 10 pagi pun matahari dah ‘duduk’ atas kepala. Panasnya ‘lain macam’!

Situasi itu adalah disebabkan oleh fasa akhir Monsun Timur Laut dengan taburan hujan yang agak rendah menjadi penyebab kepada berlakunya cuaca panas yang dijangka hingga April ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga memaklumkan kepada orang ramai cuaca panas yang dialami di seluruh negara ketika ini dijangka kembali reda bermula pertengahan April ini.

Elak aktiviti luar, berjimat dan minum air dengan banyak. Cuaca panas dijangka berlanjutan hingga AprilMetMalaysia dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Twitter berkata, keadaan cuaca yang berlaku ketika ini adalah fenomena biasa yang berlaku sepanjang bulan Februari sehingga April setiap tahun.

Jelasnya, negara kini juga berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac tahun ini.

Iklan

“Cuaca panas yang dialami pada ketika ini adalah satu fenomena biasa sepanjang tempoh Februari hingga April setiap tahun.

“Sehingga kini, suhu tertinggi bagi bulan Februari adalah lebih rendah berbanding tahun lalu.

“Taburan hujan yang rendah dalam tempoh lama boleh menyebabkan cuaca agak panas terutamanya pada waktu malam apabila terdapatnya litupan awan,” menurut kenyataan tersebut.

Bagaimanapun kata MetMalaysia, pihaknya tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa berlaku pada tahun ini.

Mengulas lanjut, MetMalaysia berkata, sehingga kini suhu tertinggi bagi bulan Februari adalah sekitar 36.2°C berbanding bulan sama tahun lalu sekitar 37.4°C yang dicerap sekitar Stesen Meteorologi Kuala Kangsar, Perak.

Iklan

“Dalam keadaan cuaca panas ini, semua pihak dinasihatkan supaya mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti diluar dan minum air secukupnya,” ujarnya.

Selain itu, MetMalaysia turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan mendapatkan maklumat amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi MyCuaca dan media sosialnya.