LEBIH setahun ‘mendung’ berterusan, kini ‘mentari’ muncul lagi. Hari ini 12 Mac, genaplah setahun wabak coronavirus atau Covid-19 diisytihar sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pandemik merujuk kepada wabak yang menyerang dalam skop lebih besar dan tidak terhad kepada komuniti atau daerah semata-mata.

Covid-19 telah menepati kriteria pandemik kerana wabak ini mengancam manusia sejagat di seluruh dunia.

Pandemik Covid-19 bermula daripada penularan wabak di peringkat epidemik yang merebak secara meluas sehingga tidak dapat dikawal dan telah membunuh 2.6 juta orang setakat ini.

Vaksin Covid-19

Antara pandemik yang pernah berlaku adalah wabak Antonine, wabak Jusne serta ‘The Black Death’ yang dipercayai membunuh puluhan juta orang sekitar abad ke-14.

Sebelum Covid-19 menyerang, HIV/AIDS adalah satu-satunya pandemik yang diramal mampu membunuh sehingga 100 juta orang pada tahun 2025.

Di Malaysia, pandemik Covid-19 telah memasuki gelombang ketiga dan telah menyebabkan 1,200 kematian setakat 11 Mac.

Walaupun kes harian masih tinggi tapi berada dalam trend penurunan dan telah 6 hari mencatatkan kes di bawah 2,000.

Penurunan kes ini berlaku secara perlahan-lahan dan dijangka stabil sekitar dua angka pada Mei.

Pendekatan untuk mengimbangi keperluan kesihatan rakyat dan kestabilan ekonomi yang diambil kerajaan menjadi faktor penurunan kes agak perlahan dan ini sememangnya telah dijangka.

Guru dan pengamal media penerima vaksin fasa pertama Program Imunisasi Covid-19

Penghasilan vaksin dan kejayaan kerajaan mendapat bekalan vaksin yang mencukupi ketika semua negara sedang ‘berebut’ adalah satu sinar harapan baharu, ibarat mentari muncul lagi selepas mendung berterusan lebih setahun.

Penularan jangkitan hanya boleh dikawal menggunakan vaksin jika imuniti berkelompok atau Herd Immunity terbentuk. Ini boleh dicapai selepas 80% populasi di Malaysia mengambil vaksin.

Iklan

Selepas lebih setahun kita terpaksa berperang dengan musuh yang tidak nampak, inilah peluang untuk kita menang.

Jika 126,000 orang menerima vaksin setiap hari, kita dijangka mencapai lebih awal sasaran 80% populasi sekaligus imuniti berkelompok dibentuk lebih awal.

Walaupun Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi Fasa 3 hanya akan bermula Mei, pendaftaran awal akan memastikan kelancaran proses vaksinasi dan mencapai sasaran 126,000 suntikan sehari.

Banyak ‘kebebasan’ akan kita kecapi lebih awal jika sasaran imuniti berkelompok ini dicapai lebih awal.

Iklan

Orang ramai kini boleh daftar sebagai penerima vaksin Covid-19 melalui MySejahtera

Orang ramai boleh mendaftar untuk mendapatkan vaksin melalui;

1. Pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera.

2. Pendaftaran melalui laman sesawang khas di www.vaksincovid.gov.my.

3. Menghubungi talian hotline 1800-888-828

4. Hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta

5. Menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Baca juga Hati-hati, individu ingkar SOP Covid-19 berdepan denda RM10,000 mulai hari ini

Kita merancang, kita berusaha dan kita berdoa, kepada Tuhan juga kita berserah. Vaksin Covid-19, lindung diri lindung semua.

Sumber: KKM