Gerbang Malam kembali beroperasi Chor!

Gerbang Malam kembali beroperasi Chor!
June 17, 2020
Faizul Hakimi

GERBANG Malam Ipoh mungkin satu lokasi yang tak perlu diceritakan lagi kepada semua. Gerbang malam adalah antara lokasi yang menghidupkan keceriaan suasana malam di bandar raya Ipoh sejak ia mula dibuka sekitar tahun 2003 dan masih gah sehingga kini.

Jika korang singgah di bandar raya Ipoh, kunjungan korang seolah tidak akan lengkap jika tidak mengunjungi Gerbang Malam yang terletak di Jalan Tahwil Azhar, Ipoh, Perak.

Ia mendapat sambutan terutama pada hujung minggu dan musim perayaan, apabila melalui jalan berhampiran pastinya sesak dengan kenderaan pengunjung yang singgah membeli-belah.

Malangnya, akibat kesan pandemik Covid-19 yang melanda dunia menyebabkan banyak sektor terjejas, peniaga yang berniaga di tapak Gerbang Malam itu juga turut terkesan.

Mereka tidak dibenarkan beroperasi seperti sebelumnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang di kuat kuasakan pada 18 Mac lalu.

Namun, kini terdapat sedikit berita gembira yang mana ia kembali dibenarkan beroperasi.

Menurut laporan terbitan portal akhbar tempatan, kerajaan negeri hanya membenarkan 60 daripada 128 peniaga menjalankan perniagaan secara bergilir setiap hari di Gerbang Malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Gerbang Malam akan dibenarkan beroperasi bermula jam 5 petang hingga jam 12 tengah malam setiap hari.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, selain itu setiap gerai yang dibenarkan beroperasi perlu berjarak tiga meter antara satu sama lain bagi memastikan jarakan sosial untuk mengelak penularan wabak Covid-19.

“Selain itu, tidak kira siapa yang memasuki kawasan ini juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengambil suhu badan, memakai pelitup muka dan mengikut aliran jalan yang telah ditentukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau Gerbang Malam yang dibuka semula setelah ditutup sejak 18 Mac lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan.

Ahmad Faizal berkata, walaupun mengalu-alukan kehadiran orang ramai, namun pihaknya tidak menggalakkan warga emas dan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun untuk mengunjungi kawasan berkenaan kerana mereka merupakan golongan berisiko dijangkiti Covid-19.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berharap orang ramai sentiasa peka dan tidak mengambil mudah setiap SOP yang ditetapkan walaupun pelbagai kelonggaran telah diberikan oleh kerajaan sepanjang tempoh PKPP.

“Untuk jangka masa sekarang ini kita masih dalam PKPP, kita masih terus perlu berhati-hati dan nasihat daripada pihak berwajib perlu terus kita patuhi,” katanya.

Ate, moh la kita ke Gerbang Malam cuci mata chor!

About Faizul Hakimi