Belia mendapat penjimatan bernilai RM360 daripada GrabPay dan rakan kongsinya apabila membeli-belah keperluan Ramdan dan raya

GrabPay Malaysia bekerjasama dengan Kerajaan untuk memacu penggunaan tanpa tunai dalam kalangan belia dan para peniaga, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh Malaysia melalui program ePemula.

Disasarkan untuk bermula pada pertengahan bulan April, Kementerian Kewangan akan memperuntukkan RM300 juta dalam program ePemula untuk memanfaatkan kira-kira dua juta belia berumur 18-20 tahun dan pelajar sepenuh masa dari institusi pengajian tinggi.

Menurut Ketua GrabPay Malaysia, Priyanka Madan, setiap penuntut yang layak akan menerima pembayaran baucar kredit RM150 melalui e-dompet pilihan mereka yang boleh digunakan untuk membuat transaksi tanpa tunai dalam kedai untuk barangan seperti peranti elektronik, buku, makanan dan keperluan harian yang lain.

Jelas beliau, selain daripada RM150 dari pihak kerajaan, GrabPay akan menambah nilai baucar tunai untuk setiap penuntut.

Ujarnya, penuntut yang layak dan membuat tuntutan melalui e-dompet GrabPay akan juga menerima baucar tunai tambahan bernilai RM210 daripada GrabPay dan rakan kongsinya yang juga boleh digunakan untuk membeli-belah dalam talian mereka.

“Ini adalah tepat pada masanya kerana pihak yang menuntut kemudiannya boleh memanfaatkan jualan dan promosi Ramadan dan Raya untuk membeli-belah pakaian, makanan dan keperluan perayaan mereka yang lain.

“Sebagai jenama tempatan dan penyokong ekonomi digital, kami berbesar hati untuk menyertai program ePemula untuk menyokong belia di Malaysia. Sejak pelancaran e-dompet GrabPay, kami telah bekerjasama dengan rakan kongsi dan agensi kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan transaksi tanpa tunai dan menyediakan perkhidmatan kewangan yang selamat, telus dan inklusif di seluruh negara.

“Bersama-sama, kami juga telah membantu beribu-ribu perniagaan mikro, kecil dan sederhana beralih ke dalam talian dan menerima pembayaran tanpa tunai sebagai cara untuk mengatasi sekatan kawalan pergerakan.

“Selaras dengan intipati ePemula, GrabPay membahagikan kredit RM150 daripada Kementerian untuk memberi lebih banyak peluang kepada penuntut yang layak berbelanja secara berhemat sambil memanfaatkan pelbagai perniagaan ketika mereka berusaha mendapatkan semula jualan luar talian mereka sambil masih meraih faedah ekonomi digital ,” katanya.

Beliau juga menambah bahawa penuntut yang layak boleh memaksimumkan penjimatan mereka untuk setiap perbelanjaan dengan tawaran lain daripada Grab. Katanya, pengguna Grab yang sedang melanggan GrabUnlimited sudah pun boleh menikmati penjimatan lebih daripada RM300.

“Selain itu, mereka juga mendapat GrabRewards untuk setiap transaksi GrabPay yang boleh digunakan untuk menebus baucar diskaun atau untuk pembayaran masa hadapan.

“Ini bermakna mereka bukan sahaja menjimat daripada perbelanjaan hari ini tetapi juga perbelanjaan masa hadapan!,” kata beliau.

Ujar Priyanka lagi, penuntut yang berjaya menuntut melalui GrabPay juga akan berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada program latihan internship Grab Malaysia.

Ini bermakna, katanya mereka akan berpeluang melibatkan diri dalam projek-projek yang menghasilkan impak kepada jutaan rakyat Malaysia di seluruh negara.

Iklan

“Selain memupuk budaya tanpa tunai antara kalangan anak muda, kami ingin menyokong penekanan kerajaan dalam pendidikan STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) dengan memupuk bakat kompeten digital yang tangkas dan kompeten,” jelas Priyanka lagi.

Menurut pelbagai kajian, pandemik telah mempercepatkan penggunaan e-dompet di seluruh Malaysia.

67 peratus daripada rakyat Malaysia mempunyai akses digital melalui langganan telefon mudah alih dengan 83 peratus daripada mereka menggunakan pembayaran digital melalui e-dompet mudah alih.

Sejak pandemik ini, 55 peratus daripada rakyat Malaysia mendakwa mereka kini boleh bertahan selama lebih daripada seminggu tanpa sebarang wang tunai.

Ini boleh dikaitkan dengan pertumbuhan pilihan pembayaran tanpa tunai seperti pembayaran QR dan e-dompet yang digunakan rakyat Malaysia untuk pembayaran bil, barangan runcit, membeli-belah di kedai runcit dan serbaneka, dan pembelian makanan.

Ini disahkan lagi oleh laporan Bank Negara baru-baru ini yang menunjukkan bahawa transaksi e-dompet telah meningkat lebih daripada 70 peratus pada tahun 2021 berbanding tahun 2020.

Iklan

Sebelum ePemula, GrabPay juga menyokong usaha lain yang diterajui kerajaan seperti ePenjana, SMO dan ReDi untuk mendigitalkan beribu-ribu perniagaan kecil dan membantu mereka menerima ekonomi digital sambil menggalakkan perbelanjaan pengguna.

Untuk maklumat lanjut tentang GrabPay dan ePemula, sila klik di SINI

ePemula ialah inisiatif Kerajaan Malaysia untuk membantu mempromosikan transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia Malaysia berumur 18 hingga 20 tahun, dan pelajar universiti sepenuh masa. Untuk inisiatif lain yang memberi manfaat kepada belia, sila layari portal Bajet 2022.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI