Gurauan makan diri dan tak kelakar, individu ‘edit’ gamba Dr Noor Hisham dikecam hebat

A
A
A

SEPERTI yang diketahui umum, kes positif Covid-19 naik mendadak sejak berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung di Sabah baru-baru ini.

Akibatnya ramai Jemaah menteri termasuk Perdana Menteri Malasyia kini terpaksa menjalani tempoh rawatan dan kuarantin di rumah.

Tidak terkecuali, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga kini sedang menjalani kuarantin di rumah berikutan beliau juga menghadiri mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri pada Sabtu, dihadiri oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif Covid-19.

Namun, ia langsung tidak menjejaskan tanggungjawabnya melaporkan perkembangan terkini semasa Covid-19 kepada rakyat Malaysia melalui laman sosial melalui Facebook ‘live’.

Seperti apa yang berlaku semalam, Dr Noor Hisham mengadakan sidang media itu dengan lancar tanpa kehadiran petugas media.

Menurut Dr Noor Hisham, beliau mampu mengadakan sidang media secara maya setiap hari dan tetap akan menjawab soalan daripada media.

Tahniah Dr Noor Hisham. Anda hebat!

Namun begitu, lain pula jadinya apabila usaha yang dilakukan beliau telah dijadikan bahan jenaka kepada salah seorang pengguna laman Facebook MGAG yang disifat biadab dan tidak bertanggungjawab.

Apa yang dibuat oleh individu berkenaan adalah dia telah menyunting gambar Dr Noor Hisham ketika membuat siaran langsung di rumah dengan hanya memakai pakaian separuh badan.

Ternyata usaha sia-sia itu langsung tidak kelakar dan dianggap lawak hambar serta dikecam teruk oleh warganet!

Tiada maaf bagi mu!

Menyedari banyak reaksi negatif dari netizen, MGAG kemudian segera memadamkan gambar tersebut dan tukang edit gambar itu tampil membuat permohonan maaf.

Dalam permohonan maaf itu, individu yang dikenali sebagai Jun Yang menjelaskan dia hanya sekadar mahu menyelitkan sedikit gurauan bagi mengurangkan situasi yang dirasakannya tegang.

Meskipun permohonan maaf telah dibuat, dalam kalangan warganet masih berang dan ada yang menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan kerana bagi mereka gurauan seperti itu tidak sewajarnya dilakukan.

Mana tidaknya, Dr Noor Hisham merupakan frontliner yang sepanjang masa bekerja untuk rakyat dan amat tidak patut kejadian seumpama itu diperlakukan kepada beliau.

Terbaharu, akaun milik Jun Yang juga telah dinyah aktif selepas permohonan maafnya dibuat beberapa jam yang lalu.

Media sosial sepatutnya digunakan dengan baik dan jangan sesekali digunakan untuk memuat naik sebarang kandungan yang boleh dikategorikan menyakiti hati sehingga menyebabkan diri menerima akibatnya di kemudian hari.

Jadikanlah ini sebagai satu pengajaran untuk kita semua. Berfikir dahulu dalam melakukan apa sahaja perkara dan ingat tidak semua bahan boleh dijadikan bahan jenaka. Tak kelakar guys!

Memetik laporan portal media tempatan, susulan daripada tindakan itu, pihak polis kini telah membuka kertas siasatan terhadap pemilik akaun Facebook MGAG selain mereka perlu bertanggungjawab atas kesalahan dan tindakan tidak bermoral yang dilakukan itu.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca