BARU-BARU ini heboh ada pihak yang mendakwa pendaftaran suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera hanya boleh dilakukan kepada pengguna telefon jenama Apple sahaja.

Tenang! Dakwaan itu langsung tidak berasas dan tidak benar sama sekali!

Memetik laporan portal media tempatan, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, pendaftaran itu boleh dilakukan bermula semalam sama ada menerusi platform iOS, Android ataupun telefon jenama Huawei.

“Semalam, pada awalnya, heboh di media sosial menyatakan bahawa hanya pengguna Apple sahaja boleh mendaftar.

“Sebenarnya ini tidak benar. Kita sebenarnya telah menghantar permohonan mengemaskini aplikasi MySejahtera untuk kesemua sistem operasi (OS) talian bimbit pada waktu yang sama, tetapi platform-platform ini mengambil tempoh masa yang berbeza-beza untuk memaparkan perubahan yang telah dibuat di platform masing-masing,” katanya.

Untuk makluman, pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 boleh kini boleh dibuat di aplikasi MySejahtera telefon pintar masing-masing bermula semalam (Selasa).

Aplikasi MySejahtera merupakan langkah yang paling cepat untuk mendaftar berbanding empat cara lain yang disediakan.

Lokasi ‘panas’ Covid-19 termasuk KLCC tidak dikesan dalam Hotsport tracker, ini penjelasan MySejahtera

Pengguna perlu mengemas kini aplikasi tersebut kepada versi 1.0.28 terlebih dahulu bagi meneruskan pendaftaran.

Apabila kemas kini, terdapat satu ruangan vaksin Covid-19 dan apabila ditekan pemohon diminta untuk mengesahkan maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon.

Pengesahan maklumat pemohon

Setelah disahkan, pemohon boleh terus mendaftar untuk vaksinasi dan dimaklumkan bahawa fasa satu yang bermula esok, 24 Februari hanya untuk barisan hadapan buat masa ini.

Iklan

Namun, pemohon boleh meneruskan proses pendaftaran dan akan diberitahu apabila fasa seterusnya bermula.

Untuk mendaftar, perlu menjawab empat soalan yang merangkumi minat untuk diberi vaksin, sejarah penyakit, sama ada pemohon terdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) dan alamat rumah sekarang.

Iklan

Aplikasi MySejahtera mengesyorkan pemohon mengaktifkan pemberitahuan supaya dapat menerima makluman mengenai status vaksinasi.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Februari ini dengan fasa pertama dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa kedua pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang.