KUMPUL setem? Why not? Kalau dulu pelajar sekolah yang mempunyai hobi ini dipandang tinggi oleh rakan-rakan terutama apabila mempunyai setem dari luar negara, namun kini ia semakin dipandang sepi dan dianggap hobi yang membosankan berbanding bermain permainan video.

Hobi mengumpul setem mungkin dianggap lebih sinonim dengan golongan berumur namun hakikatnya, masih ada peminat tegar dalam kalangan generasi muda.

Terbaharu, Pos Malaysia melancarkan koleksi terbaru setem Bunga-Bunga Liar bertajuk ‘Bunga-Bunga Liar Siri 3’, selepas hampir tiga dekad sejak edisi sebelum ini dikeluarkan pada 1992.

Ketua Pemasaran Kumpulannya, Schrene Goh berkata, koleksi itu ditawarkan mulai hari ini menerusi kedai dalam talian Pos Malaysia di www.eziemall.com dan di semua pejabat pos seluruh negara.

Koleksi ini juga merupakan keluaran siri ketiga yang mana Pos Malaysia mengetengahkan spesies baharu seperti bunga-bunga liar yang memaparkan khazanah alam semulajadi Malaysia.

“Siri setem ini dengan tiga rekaan lembaran mengandungi 10 setem setiap satu yang mengetengahkan bunga Senduduk, Ara Songsang dan Bunga Kancing Baju.

“Sebanyak 750,000 keping setem akan dikeluarkan dalam denominasi 60 sen, RM1.30 dan RM1.50,” katanya dalam satu kenyataan media.

Untuk melengkapi siri itu, Pos Malaysia turut mengeluarkan 20,000 Lembaran Mini (MS) dan dicetak dengan kesan khas “Spot UV” dan potongan terap “die-cut” untuk menyerlahkan keindahan bunga Simpoh Air.

MS ditawarkan pada harga RM5 setiap satu.

Iklan

Sebanyak 27,000 keping Sampul Surat Hari Pertama (FDC) turut dikeluarkan pada harga 50 sen setiap satu, kata Goh.

“Set folder lengkap boleh dibeli pada harga RM54.40 yang mengandungi tiga lembaran setem dengan 10 keping setem cetakan timbul, satu MS, satu FDC dengan tiga keping setem dan satu FDC dengan MS serta folder. Folder juga boleh dibeli secara berasingan pada harga RM6 setiap satu (hanya 1,500 folder ditawarkan).

“Bagi pengumpul dan peminat setem, siri ini didatangkan dengan tanda pembatalan eksklusif yang mengetengahkan satu lagi bunga liar, Dandelion, sekali gus melengkapi nilai estetika koleksi itu,” katanya.

Iklan

Jom kita hidup kan balik hobi kumpul setem. Kalau di luar negara, lagi lama usia stem itu, lagi bernilai tau harganya. Malah, ada yang jadikan hobi tersebut sebagai sumber pendapatan. Hebat bukan?