Hulu Langat ibarat dilanda tsunami, 10 hilang di Pahang. Ini keadaan terkini banjir seluruh negara

A
A
A

BANJIR yang melanda lapan negeri pada musim monsun timur laut tahun ini, menyaksikan ribuan orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), dengan Selangor menjadi negeri paling teruk terjejas sehingga sesetengah kawasan yang boleh diibaratkan seperti dilanda tsunami.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Gambar-gambar yang dikongsikan netizen di media sosial memaparkan banyak kemusnahan dengan kenderaan ditenggelami air serta ada rumah dihanyutkan iaitu di Hulu Langat dan Kampung Bandar Tinggi, Kuala Klawang Negeri Sembilan.

Jumlah mangsa banjir setakat malam tadi di tujuh negeri selain Kuala Lumpur terus meningkat kepada lebih 41,000 berbanding lebih 34,000 petang semalam dan kesemuanya berlindung di 417 PPS dengan Pahang mencatatkan angka paling tinggi iaitu 19,344 mangsa.

Berikut keadaan semasa negeri-negeri dilanda banjir;

Hulu Langat ibarat dilanda tsunami, 10 hilang di Pahang. Ini keadaan terkini banjir seluruh negara

Baca juga Kereta tenggelam banjir, jangan hidupkan enjin. Lakukan 9 tip ini

Selangor

1. Satu mayat lelaki dipercayai mangsa lemas pertama dilaporkan ditemukan di jalan masuk utama ke Pangsapuri Alam Idaman, Seksyen 22 Shah Alam, Selangor selepas paras air di kawasan itu mulai surut malam tadi.

2. Pada masa ini pihak berkuasa termasuk dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) giat menjalankan usaha menyelamat dan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

3. Menurut Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melalui laman Facebooknya menyatakan anggota ATM dari 4 Divisyen diatur gerak dan berada di lapangan bagi membantu operasi banjir di Kuala Langat dengan antara fokus pasukan ini ialah melaksanakan penghantaran barang keperluan harian ke PPS.

4. Kementerian Dalam Negeri melalui Facebook pula memaklumkan penugasan memindahkan mangsa banjir diteruskan di kawasan Batu 14 Hulu Langat oleh Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dan malam tadi operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir oleh Batalion 6 PGA Muar akan digerakkan ke Shah Alam.

5. Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memaklumkan 71 jalan ditutup untuk laluan kenderaan di sesetengah kawasan susulan banjir setakat 10 malam tadi, antaranya pusingan U keluar dari Lapangan Terbang Subang menghala ke Bulatan Lapangan Terbang; Lebuhraya Shahpadu; Lebuhraya Damansara Puchong Batu 13; dan Jalan Kota Kemuning Lebuhraya KESAS.

Pahang

1. 10 individu dilapor hilang, dipercayai dihanyutkan air deras dalam kejadian banjir di Pahang, dengan lapan daripadanya dipercayai melibatkan dua kejadian kepala air di Bentong.

2. Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Ismail Abdul Ghani berkata tiga termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun dilapor hilang dalam kejadian di sebuah chalet malam tadi, manakala lima lagi dilaporkan hilang dalam kejadian di Telemong.

3. Dua lagi yang dilapor hilang, dikhuatiri dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Kuantan iaitu Mohd Halmi Nazlan, 34, yang dipercayai dihanyutkan arus semasa melalui Jalan Pintasan Kampung Cempaka-Sungai Soi pagi tadi dan Mohd Firdaus Supiardi, 26, yang dipercayai mengalami masalah mental dikatakan terjun ke Sungai Belat semalam.

4. Tidak kurang juga ramai yang terperangkap atau terkandas di dalam kenderaan akibat laluan tidak boleh dilalui berikutan kejadian runtuh atau jalan ditenggelami air dan pagi ini kira-kira 450 individu yang terkandas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sejak semalam, dibawa keluar secara berperingkat termasuk menggunakan bot Lebuhraya Pantai Timur.

5. Jurucakap ANIH Berhad memaklumkan khidmat lori tunda akan digunakan esok bagi mengeluarkan kenderaan yang tersangkut di lokasi berkenaan.

6. Laluan di KM76-KM126 Karak-Temerloh pula masih ditutup di kedua-dua hala setakat 8 malam tadi, manakala di KM114.8 Lanchang-Temerloh air masih melimpah ke jalan, namun boleh dilalui oleh semua kenderaan.

banjir

Negeri Sembilan

1. Di Pekan Linggi, Port Dickson yang terletak kira-kira 37 kilometer dari Seremban mendapati jalan menuju ke pekan tersebut masih tidak dapat dilalui kenderaan ringan setakat 7 malam tadi.

Kelantan

Lima sungai utama di Kelantan dilaporkan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.57 meter (m); Sungai Kelantan di Tangga Krai (27.26m); Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (17.23m); Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai (38.58m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.30m).

Baca juga Selesai cuci rumah boleh masuk kerja, mangsa banjir dapat cuti kecemasan, bantuan RM1,000

Sementara itu, mangsa banjir boleh manarik sedikit nafas lega apabila ramalan cuaca terkini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) malam tadi menamatkan amaran cuaca hujan berterusan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Semoga semua yang terkesan akibat banjir kali ini kuat serta tabah mengharungi dan insya-ALLAH pasti ada hikmat di sebaliknya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca