TAHUKAH anda ikan kelah menjadi ikan sungai kedua termahal di Malaysia selepas empurau kerana berharga antara RM150 hingga RM500 sekilogram di pasaran?

Ya, maka tidak hairanlah ikan itu menjadi buruan kaki pancing di beberapa sungai yang menjadi habitatnya di seluruh negara terutama di Pahang, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kini penternakan ikan kelah dalam sangkar mampu menarik golongan muda untuk menceburi bidang keusahawanan yang dilihat semakin berkembang.

Beliau berkata bidang ini mampu mengisi kelompongan golongan itu dalam subsektor perikanan yang kini dilihat semakin berkurangan.

“Mungkin golongan muda masa kini tidak lagi tertarik menjadi nelayan namun penternakan ikan kelah merupakan satu program yang cukup menarik kerana ia mampu menjana keuntungan lumayan kepada pengusaha.

“Ia sekali gus dapat menambah produktiviti makanan khususnya dalam subsektor ini,” katanya.

Menurut Che Abdullah lagi, kerajaan akan sentiasa menyokong mana-mana aktiviti berkaitan pertanian dan penternakan menerusi peruntukan yang disalurkan kepada kementeriannya sepanjang masa.

KOLAGEN TINGGI

Sementara itu, salah seorang dari pengusaha tapak penternakan ikan kelah yang juga merupakan seorang pengamal perubatan, Dr Ab Aziz Al Safi Ismail berkata, idea menternak ikan kelah tercetus selepas hasil kajiannya mendapati ikan kelah mempunyai kolagen yang tinggi dan sesuai untuk dijadikan tampalan kulit bagi pesakit kencing manis.

Iklan

“Sebelum ini kulit ikan tilapia digunakan untuk tujuan tersebut namun tahap kolagennya sedikit kurang berbanding ikan kelah, justeru saya merasa terpanggil untuk memelihara ikan kelah ini untuk tujuan bioperubatan.

“Selain itu, sisiknya boleh diproses untuk dijadikan kolagen manakala isinya boleh dijadikan pil untuk meningkatkan tenaga batin dan lebih kuat berbanding Viagra,” katanya.

Beliau berkata dari segi pasaran pula, permintaan terhadap ikan kelah mencecah kira-kira enam tan sebulan dan setakat ini pengusaha ikan kelah tempatan hanya mampu menghasilkan jumlah tersebut dalam tempoh setahun.

“Justeru, permintaan terhadap ikan kelah ini amatlah tinggi kerana pasarannya masih lagi luas dan kurang diceburi oleh penternak lain.

Iklan

“Harga ikan kelah di pasaran juga amat mahal iaitu kira-kira RM500 bagi satu kilogram dan ikan kelah boleh dijual daripada benih sehingga tempoh matang 30 bulan,” katanya.

— BERNAMA