LELAKI dan perempuan diciptakan berbeza. Pastinya, bukan sahaja dari sudut fizikal luaran, tetapi juga berbeza dari sudut otak juga.

Menurut laman web hellodoktor.com, perbezaan otak merupakan soalan yang agak kontroversi walaupun dalam bidang sains.

Meskipun ada kajian yang ingin membuktikan bahawa wujudnya perbezaan antara otak lelaki dan wanita juga kadangkala dituduh sebagai neurosexism .

Neurosexism merupakan satu percubaan untuk membuktikan bahawa otak lelaki dan perempuan sememangnya berbeza.

Dapatan kajian itu pula menunjukkan lelaki atau wanita sebenarnya tidak sesuai melakukan tugasan-tugasan tertentu.

Bagaimanapun, pakar menerangkan bahawa perbezaan itu bukanlah penentu sesuatu jantina lebih baik daripada jantina yang lain.

Bahkan lelaki dan wanita juga mempunyai keupayaan berfikir yang sama, mungkin cuma cara pemikiran sahaja yang sedikit berbeza.

Jadi, hari ini SinarPlus ingin kongsikan perbezaan antara otak lelaki dan wanita seperti yang ditulis oleh jurulatih BeFit, Ahmad dan Mizah di Instagram milik beliau.

Berikut adalah perbezaannya:

i) SAIZ

Otak lelaki lebih cenderung berkembang dan memiliki ruang yang lebih kompleks seperti merancang, tentukan sesuatu perkara dan merangka sesuatu pengubahsuaian benda yang disukainya.

Oleh sebab itu, kita dapat lihat minat lelaki lebih kepada kereta, motosikal dan lain-lain yang banyak dipengaruhi oleh faktor reka bentuk.

ii) LISAN ATAU PERCAKAPAN

Otak lelaki lebih kecil iaitu 1/4 daripada otak wanita.

Pun demikian, otak lelaki cenderung menggunakan otak kanan, manakala otak wanita pula memaksimumkan kedua-dua belah (kiri dan kanan).

Oleh sebab itu, kita dapat lihat wanita lebih gemar bercakap berbanding lelaki.

Iklan

Terdapat satu kajian menyatakan, dalam sehari perempuan akan mengeluarkan 20,000 patah perkataan, lelaki pula hanya 7,000 patah perkataan sahaja.

iii) BAHAN KIMIA

Sebenarnya, otak wanita mempunyai lebih banyak serotonin yang membuatkan mereka lebih tenang.

Dalam kebanyakan wanita, apabila mereka berhadapan apa-apa ujian atau rintangan, mereka akan lebih mudah rileks berbanding lelaki.

Selain itu, otak wanita juga mempunyai oksitosin yang mana ia adalah satu zat yang mampu mengikat orang lain.

Iklan

iv) MEMORI

Untuk pengetahuan pembaca SinarPlus, pusat memori atau juga dikenali sebagai hippocampus pada wanita lebih besar daripada lelaki.

Keadaan berkenaan menjawab persoalan kenapa lelaki lebih cepat lupa dan wanita pula sentiasa ingat, meskipun peristiwa itu sudah berlaku berpuluh-puluh tahun lamanya.

Oleh itu, ketahuilah bahawa lelaki dan wanita diciptakan ALLAH dengan pelbagai perbezaan supaya manusia boleh saling melengkapi antara satu sama lain dan elak lakukan perbandingan yang boleh menyebabkan konflik antara satu sama lain.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua.