Ini cara betul palang MyKad. Elak disalahguna, identiti dicuri. Ada 3 jenis kad pengenalan lain di Malaysia

June 8, 2021
Oleh Azma ML

KAD Pintar Pelbagaiguna Kerajaan atau dikenali MyKad merupakan kad pengenalan diri yang digunakan di Malaysia.

Diperkenalkan pada tahun 5 September 2001, kad pengenalan itu dibangunkan berasaskan sistem dan proses baharu yang memenuhi ciri keselamatan terkini.

Ia termasuk menggabungkan pelbagai aplikasi daripada pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta dalam satu kad.

MyKad mempunyai aplikasi yang berupaya diakses dengan pantas dan selamat untuk menjalankan pelbagai transaksi elektronik seperti pengesahan identiti, kesihatan, pembayaran, pengaksesan, perniagaan dan servis peruncitan.

Baca juga IC Hilang? Ini Kadar Denda Dan Prosedur Permohonan MyKad Online

Ciri keselamatan termasuklah pengesahan menggunakan kekunci simetri kriptografi, sistem operasi pelbagai lapisan dengan ‘firewall’ serta landasan cip yang selamat.

MyKad menggunakan dua jenis teknologi biometrik bagi tujuan pengenalan diri. Biometrik yang digunakan adalah gambar berwarna pemegang kad dan Sijil Digital untuk pengesahan diri menjadikan kad pintar itu selamat.

Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang menggunakan kad pengenalan dan pasport menggabungkan teknologi cip dan biometrik terkini untuk meningkatkan keselamatan dan kesahihan pemiliknya.

MyKad memasukkan minutiae cap jari individu ke dalam cip dan membolehkan pengesahan cap jari dilakukan secara tepat dan terperinci dengan menggunakan alat pembaca MyKad.

MyKad sebagai Prasarana Kekunci Awam

Aplikasi Prasarana Kekunci Awam (PKI) memuatkan Sijil Digital dan Kekunci Persendirian di dalam MyKad. Sijil Digital membolehkan empat transaksi dilakukan secara elektronik seperti:

Pengesahan

- Orang lain tidak boleh menyamar

Pembuktian

- Tandatangan digital sebagai bukti sah transaksi.

Sulit

- Maklumat sulit boleh dienkrip sebagai sulit.

Iklan

Integriti

- Tiada pihak ketiga boleh mengubah sebarang maklumat.

MyKad sebagai dokumen sah lesen memandu.

MyKad sebagai dokumen kesihatan.

Maklumat asas kesihatan seperti jenis darah, alahan, organ implan, penyakit kronik dan maklumat waris atau ahli keluarga terdekat boleh dimasukkan ke dalam cip MyKad.

Kad pengenalan diri pintar tersebut memaparkan maklumat nama, alamat, gambar, nombor kad pengenalan, jantina pada luar kad.

Justeru, kad pengenalan adalah sangat berbahaya jika salinan fotokopi terlepas kepada pihak tidak bertanggungjawab.

Oleh itu, bagi mengelakkan korang ditipu dan menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyarankan orang ramai agar:

a) Sentiasa membuat dua garisan lurus
b) Tujuan penggunaan pada salinan dokumen kad pengenalan

Langkah terbabit bertujuan memastikan salinan kad pengenalan tidak disalahgunakan dan penggunaannya terhad pada tujuan salinan itu dibuat.

Dua garisan lurus dan tujuannya boleh dilakarkan pada sebelah atas kiri di kedua-dua muka depan dan belakang salinan dokumen.

Jika korang mendapati belakunya penipuan melibatkan kad pengenalan, usah berlengah laporkan segera kepada pihak berkuasa.

Selain itu, terdapat kad pengenalan yang rupanya sama, tetapi mempunyai warna dan ciri berlainan. Korang jangan keliru kerana ia bukan MyKad.

MyKid

Iklan

MyKid (bermaksud Kad Identiti Diri)ialah kad pengenalan diri kanak-kanak berwarna merah jambu untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Ia tidak mempunyai gambar dan cap jari seperti MyKad dan digunakan untuk urusan kanak-kanak berkenaan.

Ia mengandungi tiga aplikasi Jabatan Pendaftaran Negara iaitu data kelahiran, maklumat kesihatan dan pendidikan.

MyPR

Kad pengenalan berwarna merah yang dimiliki penduduk Malaysia bertaraf pemastautin tetap diwujudkan sejak 1 Jun 2006.

Ia mempunyai identifikasi Pemastautin Tetap lebih jelas, mempunyai latarbelakang warna merah dan mengandungi maklumat kerakyatan asal. Nombor permit turut dipaparkan.

MyKAS

Kad berona hijau ini ialah Kad Pengenalan Pemastautin Semenatara atau MyKAS.

Ia mempunyai ciri identifikasi kad pengenalan sementara pada bahagian atras, tarikh luput dan perlu diperbaharui dalam tempoh lima tahun.

Diharapkan korang berhati-hati dan tidak cuai dalam menggunakan salinan MyKad kerana ia boleh menyebabkan berlakunya pelbagai masalah antaranya salah guna, kecurian identiti dan penipuan.

Buat laporan polis dengan segera sekiranya MyKad korang tercicir atau dicuri.

Sumber: JPN