Jangan sembarangan dengan susu ibu dipam, pastikan tak expired! Ini cara kenali, mak-mak wajib tahu

SUSU ibu adalah makanan yang terbaik dan sempurna. Ia amat penting untuk bayi kerana tiada makanan lain yang dapat memberikan khasiat sepertinya.

Ia membekalkan tenaga dan nutrien dalam kadar yang tepat untuk bayi membesar.

Bagi ibu-ibu yang bekerja, biasanya susu ibu diperah dan disimpan untuk bekalan si kecil.

Namun tahukah kalian yang perahan susu badan boleh tamat tempoh?

Tiada apa yang lebih menyedihkan para ibu apabila mengetahui susu badan yang dipam sudah tidak boleh digunakan lagi.

Sesungguhnya susu ibu sangat bernilai dan sudah tentu tidak ada emak yang sanggup membuang susu tersebut dengan sewenang-wenangnya.

Walau bagaimanapun, tidak seperti susu lembu, perahan susu badan boleh rosak jika dibiarkan di tempat terbuka atau berada di dalam peti sejuk melebihi tempoh yang seharusnya.

Tetapi bagaimana untuk tahu perahan susu badan telah pun rosak dan tidak boleh diberikan kepada si manja?

Baca juga Anak demam, batuk berkahak, hingus tak hilang ikhtiar air rendaman kembang semangkuk, alternatif ubat

Kredit foto: Hellodoktor

Ini lima tanda menunjukkan tempoh hayat susu ibu telah pun terjejas.

1. Bau kurang menyenangkan

Dikatakan jika susu ibu telah basi, ia akan mempunyai bau yang sama seperti keadaan susu lembu yang rosak.

Jika anda menghidu bau yang kurang menyenangkan, busuk atau masam, ia mungkin petanda perahan susu badan itu telah pun basi.

Pun begitu, ada sebilangan ibu yang melaporkan susu yang diperah berbau seperti bau logam atau sabun.

Menurut pakar, bau tersebut disebabkan oleh tahap enzim lipase yang lebih tinggi dihasilkan oleh sesetengah ibu.

2. Susu tidak bercampur

Biasanya, susu ibu yang dipam dan disimpan akan dilihat terasing menjadi lapisan berlemak dan tidak berlemak.

Walau bagaimanapun, jika tempoh hayat susu ibu masih baik, kedua-dua lapisan itu akan bercampur dan bersatu apabila digoncang dengan lembut.

Tetapi sekiranya selepas goncangan lembut dilakukan lapisan susu tersebut tidak bergabung atau terdapat ketulan susu, ia menunjukkan susu itu tidak lagi sesuai untuk diberikan kepada si manja.

Rasa sayangkan kalau nak buang? Tetapi itulah tindakan sewajarnya atau akan menimbulkan masalah kesihatan pada si manja jika anda berkeras memberikannya kepada bayi.

3. Disimpan dalam peti sejuk melebihi tiga hari

Perahan susu badan yang disimpan dalam peti sejuk biasanya masih elok untuk digunakan antara tempoh tiga hingga lima hari.

Namun, ia bergantung kepada suhu dan lokasi susu diletakkan di dalam peti sejuk.

Untuk mendapatkan tempoh hayat susu ibu yang lebih lama, ia perlu diletakkan berhampiran tempat keluar suhu.

Ini kerana ia memberikan suhu paling tinggi dan bukannya di pintu peti ais, di mana perubahan suhu naik turun berlaku dengan kerap, sekali gus menjejaskan kondisi susu.

4. Tidak ditutup dengan betul

Apa sahaja makanan yang tidak ditutup dengan betul atau bekas plastik terkoyak, ia pasti merosakkan makanan tersebut, kan?

Sama jugalah kesnya dengan perahan susu. Jika ia tidak disimpan dalam bekas dengan betul atau penutupnya tidak rapat, risiko untuk susu basi adalah tinggi.

Iklan

Terdapat pelbagai cara menyimpan susu ibu yang boleh dilakukan. Sama ada menggunakan bekas plastik keras atau dalam beg yang direka khas untuk susu ibu.

Elakkan daripada menyimpan susu ibu dalam bekas terbuka!

5. Rasa yang masam

Sudah tentu, ini cara untuk mengetahui sama ada perahan susu badan masih dalam keadaan elok atau basi dengan merasainya sendiri.

Selalunya, susu ibu yang basi akan terasa masam dan tidak enak. Jadi pastinya pilihan terbaik adalah untuk tidak memberikan susu badan tersebut kepada si manja, okay?

Baca juga Virus Covid-19 tidak merebak melalui susu ibu, doktor dedah cara penyusuan

Kredit foto: Hellodoktor

Panduan penyimpanan perahan susu badan:

Terdapat dua fasa berkaitan perahan susu badan;

  • Segar

Segar bermakna susu tersebut terus diberikan kepada bayi sebaik sahaja dipam.

Iklan

Ia penuh dengan nutrien dan sistem pertahanan badan khas daripada susu ibu.

  • Digunakan semula

Manakala istilah ‘digunakan semula’ telah melepasi masa idealnya iaitu sejurus diperah daripada payu dara, namun masih baik untuk diberikan kepada bayi.

Ia perlu disimpan dengan betul sama ada di dalam peti ais atau peti sejuk beku agar tidak menjadi tempat pembiakan bakteria yang boleh mengancam tahap kesihatan si manja anda.

Susu ibu yang disejuk beku ini masih mempunyai nutrien yang baik untuk bayi cuma sesetengah manfaatnya mungkin sudah tidak lagi sebaik waktu ia masih segar.

Tempoh hayat susu ibu;

  1. Pada suhu bilik – 4 jam (ideal) hingga 6 jam (masih boleh diberikan pada bayi)
  2. Peti ais – 72 jam (ideal) hingga 6 hari (bergantung pada keadaan susu)
  3. Peti sejuk beku – 3 hingga 6 bulan
  4. Deep freezer – 6 hingga 12 bulan

Sebaiknya, ibu merasai perahan susu badan terlebih dahulu sebelum diberikan kepada anak.

Sekurang-kurangnya anda boleh memastikan dahulu tempoh hayat susu ibu tersebut masih baik atau sudahpun basi.

Sumber: Hellodoktor

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.