Jawatan 'petugas barisan hadapan' kini bertukar tangan
KINI sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengambil tanggungjawab memikul tugas membendung penularan wabak pendemik Covid-19 untuk memberi peluang petugas barisan hadapan ruang untuk sedikit ‘berehat’.
Memetik laporan yang diterbitkan oleh portal akhbar tempatan, menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) setiap rakyat berperanan sebagai 'petugas barisan hadapan' bagi mengekang penularan Covid-19, sekali gus memutuskan rantaian pandemik itu di negara ini.
Dalam keterujaan orang ramai yang merancang untuk balik kampung dan melakukan aktiviti luar, pergerakan perjalanan perlu dibuat teliti dan perlu patuh dengan segala SOP yang telah ditetapkan.
Sehubungan itu katanya, bagi memperkasa Program Pengurangan Risiko Daerah Covid-19 (DRPP) dalam komuniti, Kementerian Kesihatan (KKM) memperkenalkan konsep Cegah dan Didik, Amal, Patuh dan Pantau (CAPP).
Menerusi amalan CAPP, masyarakat disaran mencegah Covid-19 dengan mendidik anggota keluarga termasuk komuniti masing-masing mengenai amalan normal baharu dalam kehidupan.
Dr Adham berkata, bagi memastikan keberkesanan CAPP, KKM juga menjelajah ke beberapa buah negeri bagi memberi penerangan.
Dalam pada itu katanya, maklumat tepat mengenai pandemik itu boleh diperolehi dengan mudah melalui aplikasi MySejahtera yang mengandungi komponen antaranya data harian dan maklumat mengenai kawasan-kawasan yang mempunyai jangkitan Covid-19
Ingat, tak pasti jangan kongsi jika menerima mana-mana sumber maklumat lain yang belum disahkan!
Beliau berkata, menerusi aplikasi itu juga, pengguna boleh mengetahui tindakan yang perlu diambil jika dijangkiti Covid-19, selain mengenal pasti hospital dan klinik terdekat untuk membuat pemeriksaan dan rawatan.
Sementara itu, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan rakyat terhadap SOP yang ditetapkan kerajaan dan menasihati orang ramai agar terus mengamalkan normal baharu seperti penjarakan sosial, kerap cuci tangan dengan cecair pembasmi kuman dan memakai pelitup separuh muka.
Justeru beliau berharap orang ramai meneruskan tanggungjawab mereka untuk membiasakan diri dengan normal baharu dalam PKPP bagi mempertahankan kawasan hijau.
"Maksud pemulihan dalam PKPP ialah kita mahu laksanakan strategi dalam menghadapi pembukaan semua sektor ekonomi dan kita tetap perkukuh kesihatan awam, yang mana tangungjawab itu turut diberikan kepada komuniti.
"Permerkasaan komuniti untuk lindungi kawasan hijau. Jika dijangkiti, mesti asing dengan segera, cari kontak mereka, kuarantin di rumah, komuniti jaga sendiri supaya kawasan mereka tidak ada jangkitan.
"Rakyat kini petugas barisan hadapan yang sebenar untuk lindungi diri, keluarga dan kejiranan sendiri," katanya menerusi perbualan telefon dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM), Radio Televisyen Malaysia (RTM), hari ini.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang