KORANG ingat lagi tak yang kerajaan sebelum ini telah mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) bagi mengelakkan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini sekiranya terjadi kemalangan.

Namun, disebabkan oleh pertukaran kerajaan dan rombakan ahli jemaah menteri dalam kabinet serta penularan pandemik Covid-19 menyebabkan isu tersebut umpama lenyap seketika.

Terbaharu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini hanya menunggu ‘lampu hijau’ dari Kementerian Pengangkutan untuk menguatkuasakan kembali undang-undang tersebut.

Memetik laporan media tempatan, Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, sehingga kini pihaknya hanya melaksanakan tindakan secara advokasi iaitu memberi nasihat terhadap pengguna jalan raya yang tidak menggunakan kerusi berkenaan.

Beliau berkata setakat ini, JPJ telah mengeluarkan 1,897 notis peringatan terhadap pengguna jalan raya bermula awal tahun ini sehingga 30 Jun lalu.

“Kerusi keselamatan kanak-kanak atau ‘Child Restraint System’ ini termasuk dalam Akta JPJ 1987 dan sepatutnya pelaksanaannya pada Jun tahun ini, namun ia ditangguhkan pada satu tarikh oleh pihak kementerian.

“Ia tertangguh akibat penularan wabak Covid-19 dan penguatkuasaan CRS ini akan dilakukan apabila JPJ menerima arahan selanjutnya dari kementerian,” katanya.

Katanya, statistik pada 2016 hingga 2018 menunjukkan sebanyak 1,707 kemalangan telah berlaku melibatkan kanak-kanak sepanjang tempoh berkenaan.

“Kemalangan berkenaan kebanyakan melibatkan kanak-kanak seusia bayi hingga mereka yang berumur 15 tahun (sumber Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman),” katanya.

Dalam pada itu, Shaharuddin menasihatkan masyarakat terutama pengguna jalan raya agar tidak bersikap sambil lewa terhadap isu ini.

Iklan

“CRS ini penting kepada kanak-kanak memandangkan mereka terutama bayi amat mudah terdedah kepada kecederaan serius kerana mempunyai otot bahagian tengkuk yang lemah berbanding orang dewasa,” katanya.

Tahun lepas, kerajaan mengumumkan penggunaan CRS di dalam kenderaan persendirian bagi menyelamatkan bayi dan kanak-kanak daripada kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Langkah baharu itu juga susulan statistik membimbangkan iaitu 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari 2007 hingga 2017.

Iklan

Bagaimanapun, tiada saman dikeluarkan kepada ibu bapa yang gagal menggunakan CRS, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini yang bersifat mendidik terlebih dahulu.

Apa-apa pun korang kena bersiap sedia guys. Jangan nanti tup-tup kena saman pula.