Kesan sampingan suntikan Vaksin Covid-19, ini apa yang perlu kita buat
SEPERTI apa yang diketahui umum, kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabang Kuala Lumpur (KLIA) Sabtu lalu.
Sementara itu 182,520 dos tambahan vaksin jenis serupa juga akan dijadualkan tiba esok (Rabu), untuk edaran ke negeri-negeri yang belum menerima bekalan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.
Hampir 27 juta atau lebih 80 peratus penduduk Malaysia juga dijangka menerima vaksin tersebut sebagaimana yang telah dirancang oleh pihak kerajaan.
Dalam pada itu, kesan sampingan seperti sakit dan bengkak di tempat suntikan, keletihan, sakit kepala, demam dan menggigil adalah gejala biasa dialami penerima vaksin Covid-19 Moderna dan Pfizer-BioNtech, lapor Agensi Berita Xinhua memetik CNBC dalam laporan kesihatan baru-baru ini.
Mereka yang mengalami kesan sampingan itu boleh mengambil pil penahan sakit OTC untuk mengurangkan gejala, kata CNBC, merujuk saranan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan itu adalah sesuatu yang biasa bagi tubuh manusia mengalami kesan sampingan kerana sistem imunisasi tubuh berfungsi untuk mempersiap dan melindunginya daripada virus menerusi proses "peradangan terkawal," semasa vaksin mRNA bertindak balas.
Bagi mengurangkan kesan sampingan yang mungkin sangat serius dalam beberapa kes, CDC AS berkata, orang ramai boleh mengambil ubat penahan sakit OTC seperti ibuprofen, aspirin, antihistamin atau asetaminofen.
Namun, agensi itu menyarankan mereka mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil atau menggunakan sebarang ubat penahan sakit OTC.
CDC AS bagaimanapun tidak menyokong pengambil pil tersebut sebelum menerima suntikan kerana ia boleh melemahkan tindak balas sistem imun terhadap vaksin.
Cara lain yang boleh digunakan untuk mengurangkan kesan sampingan adalah seperti :
- Tuam dengan kain lembap dan sejuk di tempat suntikan untuk menghilangkan rasa sakit.
- Minum banyak air jika demam.
- Memakai pakaian tipis.
Laporan itu juga mengigatkan orang ramai bahawa lebih ramai akan mula mengalami kesan sampingan selepas menerima suntikan kedua kerana suntikan pertama hanya merangsang tindak balas imun manakala yang kedua untuk meningkatkannya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang